Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan ciri-ciri golongan musyrik dan munafik berdasarkan nas ilahi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

ثَانِىَ عِطْفِهِۦ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۖ لَهُۥ فِى ٱلدُّنْيَا خِزْىٌۭ ۖ وَنُذِيقُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ عَذَابَ ٱلْحَرِيقِ ٩ ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ يَدَاكَ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّـٰمٍۢ لِّلْعَبِيدِ ١٠ وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَعْبُدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ حَرْفٍۢ ۖ فَإِنْ أَصَابَهُۥ خَيْرٌ ٱطْمَأَنَّ بِهِۦ ۖ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ ٱنقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِۦ خَسِرَ ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْخُسْرَانُ ٱلْمُبِينُ ١١ يَدْعُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُۥ وَمَا لَا يَنفَعُهُۥ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلضَّلَـٰلُ ٱلضَّلَـٰلُ ٱلْبَعِيدُ ١٢ يَدْعُوا۟ لَمَن ضَرُّهُۥٓ أَقْرَبُ مِن نَّفْعِهِۦ ۚ لَبِئْسَ ٱلْمَوْلَىٰ وَلَبِئْسَ ٱلْعَشِيرُ

Maksudnya: “Ada di antara manusia yang membantah perkara berkaitan Allah tanpa sebarang ilmu, petunjuk mahupun kitab panduan yang jelas. Dia membantah sambil memalingkan badannya dengan sombong daripada mendengar kebenaran untuk menyesatkan manusia daripada jalan Allah. Bagi orang sebegini, mereka akan memperoleh kehinaan di dunia dan Kami akan merasakannya azab berupa api yang dahsyat membakar di akhirat. Lalu dikatakan kepadanya: “Balasan ini adalah disebabkan apa yang dilakukan oleh kedua tanganmu. Dan sesungguhnya Allah tidak sesekali menzalimi hamba-hamba-Nya. Ada antara manusia yang menyembah Allah tanpa pendirian yang tetap. Jika dia mendapat kebaikan, maka dia merasa tenang. Namun jika dia ditimpa kesusahan, maka dia akan kembali kepada kekufuran lalu dia rugi di dunia dan akhirat dan itulah kerugian yang nyata.Dia menyeru dan menyembah kepada tuhan selain Allah sedangkan ia tidak dapat memberinya sebarang mudarat mahupun manfaat. Itu adalah kesesatan yang jauh terpesong daripada kebenaran. Dia menyembah sesuatu yang mudaratnya pasti lebih hampir berbanding manfaatnya. Itulah seburuk-buruk pelindung dan seburuk-buruk teman rapat.”

(Surah  al-Hajj: 9-13)

Ayat-ayat ini menjelaskan realiti sikap sebahagian manusia yang suka berbantah-bantah dalam perkara yang berhubung dengan Allah. Bantahan yang dilakukan mereka hanyalah lahir daripada kejahilan dan hawa nafsu mereka semata-mata tanpa berasaskan ilmu, bukti yang jelas daripada akal, atau mana-mana kitab Allah yang diturunkan sebagai hujah yang menerangi kehidupan. Malah, golongan sebegini bersikap sombong dan rela berpaling daripada mentaati Allah. Dalam pada itu, mereka juga berusaha mempengaruhi manusia lain daripada memeluk dan menuruti agama Islam. Mereka memperoleh kehinaan hidup di dunia daripada Allah, manakala di akhirat pula mereka pasti diazab dengan api neraka yang membakar. Menurut al-Shawkani, bentuk-bentuk kehinaan di dunia yang ditimpakan Allah ke atas mereka ialah Allah menurunkan balasan secara langsung di dunia lagi seperti malapetaka. Selain itu, pandangan orang sentiasa buruk terhadap mereka, malah kehinaan di dunia yang ditentukan kepada mereka adalah berupa terbunuhnya mereka seperti dalam peperangan Badar. Di akhirat kelak, akan dikatakan kepada mereka bahawa azab yang menimpa mereka adalah disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri dan semestinya Allah tidak berlaku zalim terhadap hamba-hamba-Nya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/470)

Ciri-ciri Golongan Musyrik dan Munafik dan Ancaman ke atas Mereka

Berdasarkan ayat-ayat ini, terdapat beberapa ciri-ciri golongan musyrik dan munafik yang telah dipaparkan. Ciri-ciri tersebut ialah:

  • Berbantah-bantah dengan syariat
  • Jahil
  • Jauh daripada petunjuk dan wahyu
  • Bodoh sombong
  • Menyesatkan orang lain
  • Berpaling daripada Islam apabila ditimpa ujian dan musibah serta tidak berpendirian tetap
  • Bergantung harap selain Allah
  • Mendakwa bahawa Allah sama sekali tidak menolong Rasul SAW
  • Tidak meyakini pertolongan dan rezeki daripada Allah kepadanya

Manakala, ancaman ke atas mereka pula ialah:

  • Mendapat kehinaan di dunia
  • Diazab dengan api neraka yang membakar di akhirat
  • Rugi di dunia dan akhirat
  • Kesesatan yang jauh
  • Memperoleh seburuk-buruk penolong dan sejahat-jahat kawan sebagai tempat bergantung mereka.

Berdasarkan kepada senarai ciri-ciri golongan musyrik dan munafik di atas, umat Islam sewajarnya berusaha menghindari ciri-ciri tersebut agar terselamat daripada ancaman buruk ke atas mereka. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/470)

Kesimpulan

Kita hendaklah menjauhkan diri kita daripada bersikap mempertikai ajaran Islam. Dalam ayat ini jelas terdapat seruan agar menjauhi sikap berbantah-bantah dengan syariat Islam serta tidak sombong dalam kejahilan. Kejahilan tidak sekadar menyebabkan diri seseorang itu sesat, malah dia juga akan menyesatkan orang lain dari jalan Allah.

Islam mendidik umatnya agar cekal dan teguh dengan pendirian. Ujian yang hadir adalah sebagai penanda aras keimanan seseorang. Justeru, orang yang beriman hendaklah sentiasa tenang dengan dugaan yang melanda lantaran menyedari segala apa yang ditetapkan Allah membawa kebaikan kepada dirinya jua.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Leave a Reply