Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh huraikan berkenaan tafsiran ayat 5 surah al-Ma’un?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَوَيْلٌۭ لِّلْمُصَلِّينَ (٤) ٱلَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

Maksudnya: “Maka kecelakaanlah bagi orang yang solat.Iaitu orang yang lalai dalam menunaikan solat mereka.”

Kalimah (وَيْلٌ) bermaksud dengan kehancuran dan azab kepada orang munafik yang solat di mana mereka bersifat dengan sifat lalai daripada menunaikan solat. Mereka melewatkan solat daripada waktu yang telah ditetapkan kerana meremehkan arahan bersolat. Ibn Abbas berkata: “Ia adalah orang yang bersolat tanpa mengharapkan pahala dan meninggalkan solat kerana tidak takut azab Allah.” Abu ‘Aliyah berkata: “Mereka tidak bersolat mengikut waktunya, tidak menyempurnakan ruku‘ dan tidak menyempurnakan sujud.” 

Dalam ayat 5 surah al-Ma’un, ahli tafsir menyatakan apabila Allah menggunakan kata sambung  (عَنْ)mereka terus mengetahui bahawa ia adalah untuk orang munafik. Sebab itu, sebahagian ulama terdahulu menyatakan segala puji bagi Allah yang menyatakan (ﱫ ﱬ) dan tidak menyatakan (فِي صَلَاتِهِم). Jika (فِي صَلَاتِهِم), sudah tentu ia untuk orang beriman dengan maksud orang beriman yang lalai dalam solat mereka dan tidak fokus ketika bersolat. Beza antara lalai dalam solat dan lalai daripada menunaikan solat adalah amat jelas. Kealpaan orang munafik ialah meninggalkan solat, tidak ambil peduli tentang solat dan sibuk sehingga tidak menunaikan solat. Orang beriman apabila lupa dalam solat lantas teringat kesilapan, maka dia perlu melakukan sujud sahwi. Maka amat jelas perbezaan solat orang munafik dengan solat orang beriman.

Sifat mereka yang terkeji juga ialah memperlihatkan amalan mereka kepada masyarakat umum. Bersolat tetapi menunjuk-nunjuk untuk dikatakan mereka adalah orang yang baik. Menunjukkan khusyuk dalam solat untuk dikatakan mereka orang yang bertakwa. Bersedekah untuk menunjukkan mereka pemurah. Itulah bentuk seluruh amalan mereka untuk kemasyhuruan dan riya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/673)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. .

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply