Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan kami berkenaan bahasa tubuh (non verbal) dalam al-Quran?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتُنَا بَيِّنَـٰتٍۢ تَعْرِفُ فِى وُجُوهِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱلْمُنكَرَ ۖ يَكَادُونَ يَسْطُونَ بِٱلَّذِينَ يَتْلُونَ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِنَا ۗ قُلْ أَفَأُنَبِّئُكُم بِشَرٍّۢ مِّن ذَٰلِكُمُ ۗ ٱلنَّارُ وَعَدَهَا ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ۖ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ
Maksudnya: Apabila dibacakan ayat-ayat Allah kepada orang kafir, engkau akan melihat di wajah-wajah mereka terpapar kebencian. Hampir sahaja mereka mahu memukul orang yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Kami. Katakan kepada mereka wahai Muhammad: “Adakah kamu mahu aku beritahu perkara yang lebih teruk daripada kemarahan yang kamu rasai? Neraka yang Allah janjikan kepada orang kafir dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.”
(Surah al-Hajj: 72)
Allah berfirman dengan menggambarkan reaksi dan bahasa tubuh orang kafir ketika dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dengan hujah dan bukti yang kukuh menunjukkan bahawasanya Allah Maha Mengetahui segala yang zahir dan yang tersembunyi daripada perbuatan manusia, khususnya golong kafir. Wajah mereka berubah menjadi marah dan benci apabila mendengar ayat al-Quran tanda penolakan mereka dengan seruan Islam. Bahkan kebencian itu menyebabkan mereka hampir-hampir menyerang orang yang membacakan ayat al-Quran tersebut dengan perbuatan dan perkataan yang buruk. Ini kerana, golongan musyrikin tidak mampu untuk menentang hujah al-Quran dengan hujah mereka kerana ketinggian hujah al-Quran. Oleh kerana itu mereka memprotes dengan kekerasan dan kekejaman. Lalu, Allah berfirman kepada Nabi Muhammad SAW: Katakanlah kepada golangan musyrikin itu bahawa Allah akan mengkhabarkan kepada mereka sesuatu yang lebih buruk daripada kebencian dan kekerasan yang mereka banggakan itu, iaitu azab neraka yang lebih keras dan dahsyat daripada serangan kekerasan mereka terhadap umat Islam yang telah dijanjikan oleh Allah kepada orang kafir dan itulah seburuk-buruk tempat kembali! (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/511)
Komunikasi Bahasa Tubuh (Non Verbal) dalam Al-Quran
Menurut Kamus Dewan, bahasa badan bermaksud cara berkomunikasi melalui gaya duduk, berjalan, mimik muka dan sebagainya, bukan melalui pertuturan. Bahasa badan atau bahasa tubuh merupakan sejenis komunikasi bukan verbal di mana tingkah laku fizikal, bertentangan dengan kata-kata, digunakan untuk menyatakan atau menyampaikan maklumat. Tingkah laku tersebut termasuk ekspresi muka, postur badan, gerak isyarat, pergerakan mata, sentuhan dan penggunaan ruang.
Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menggambarkan bahasa tubuh manusia sama ada bahasa tubuh golongan kafir, munafik atau yang beriman. Antaranya dalam ayat 72 surah al-Haj. Di sini dinyatakan beberapa lagi contoh kupasan bahasa tubuh yang terdapat dalam al-Quran, antaranya:
- Gaya dan ekspresi tubuh: Ia dapat menggambarkan keadaan emosi seseorang. Firman Allah:
وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِى لَحْنِ ٱلْقَوْلِ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَـٰلَكُمْ
Maksudnya: “...Dan sesungguhnya engkau akan mengenali mereka daripada gaya dan tutur kata mereka. Dan ingatlah, Allah mengetahui segala perbuatan kamu.”
(Surah Muhammad: 30)
- Memincingkan mata: Menunjukkan sesuatu yang buruk dan tidak disukai. Firman Allah SWT:
وَلَا تَيَمَّمُوا۟ ٱلْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغْمِضُوا۟ فِيهِ ۚ
Maksudnya: “..dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripada tanaman untuk kamu sedekahkan, sedangkan kamu sendiri tidak akan mengambilnya kecuali dengan memejamkan mata..”
(Surah al-Baqarah: 267)
- Menggigit hujung jari: Menunjukkan kemarahan sedang meluap-luap. Firman Allah SWT:
وَإِذَا خَلَوْا۟ عَضُّوا۟ عَلَيْكُمُ ٱلْأَنَامِلَ مِنَ ٱلْغَيْظِ ۚ قُلْ مُوتُوا۟ بِغَيْظِكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ
Maksudnya: “..apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menzahirkan kebencian terhadap kamu sehingga menggigit-gigit hujung jari lantaran menahan api kemarahan. Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka, ‘Pergi matilah dengan kemarahan kamu.’ Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati setiap makhluk.”
(Surah Ali Imran: 119)
- Memalingkan diri ke arah lain: Menunjukkan perkara yang tidak disukainya. Firman Allah:
وَلَوْ أَسْمَعَهُمْ لَتَوَلَّوا۟ وَّهُم مُّعْرِضُونَ
Maksudnya: “..mereka tetap juga akan berpaling daripada ketaatan dan mereka sama sekali tidak menghiraukannya.”
(Surah al-Anfal: 23)
- Air mata mengalir: Menunjukkan sesuatu yang membawa kepada kebenaran. Firman Allah:
وَإِذَا سَمِعُوا۟ مَآ أُنزِلَ إِلَى ٱلرَّسُولِ تَرَىٰٓ أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ ٱلدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُوا۟ مِنَ ٱلْحَقِّ ۖ
Maksudnya: “Dan apabila mereka mendengar wahyu yang telah diturunkan kepada rasul, kamu dapat melihat air mata mereka bercucuran kerana mengetahui kebenaran wahyu al-Quran..”
(Surah al-Maidah: 83)
Banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang menggambarkan bahasa tubuh seseorang yang boleh dikaji bagi menzahirkan kehebatan mukjizat al-Quran yang mencabar manusia sepanjang zaman. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/513-514)
Kesimpulan
Wajah melambangkan apa yang tersirat di hati, sebagaimana wajah ahli syurga digambarkan berseri-seri tanda kegembiraan dan wajah ahli neraka digambarkan kusam dan muram tanda kesakitan dan kepayahan. Oleh itu, bersihkan dan sucikanlah hati kita dengan melakukan amalan soleh. Allah berkuasa mengurniakan seri wajah buat orang yang beriman dan beramal soleh.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”