Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan maksud al-Khannas yang disebut dalam Surah al-Nas ayat 4)
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
مِن شَرِّ ٱلْوَسْوَاسِ ٱلْخَنَّاسِ
Maksudnya: “Daripada kejahatan was-was bisikan syaitan.”
(Surah al-Nas: 4)
Bisikan was-was itu dinyatakan berada di dalam dada manusia, kerana sudah lazim dalam bahasa orang Arab mengatakan bahawa gurisan jiwa itu ada di dalam hati, sedang hati itu berada di dalam dada. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7748)
Menurut Sayyid Qutb, kita tidak mengetahui bagaimana berlakunya bisikan syaitan, tetapi kita merasakan kesan-kesannya di dalam jiwa dan di dalam realiti hidup kita. Kita sedar bahawa pertarungan Adam dan Iblis adalah satu pertarungan yang amat lama.
Walaubagaimanapun, Allah tidak membiarkan manusia mengharungi pertarungan itu tanpa senjata, malah ia telah menjadikan keimanan sebagai perisai untuk mereka, zikir sebagai kelengkapan perang dan doa memohon perlindungan sebagai senjata. Andainya manusia itu lupakan perisai, kelengkapan dan alat senjatanya, maka dialah sahaja yang patut dipersalahkan. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 17/604)
Dalam menjawab persoalan di atas, Syeikh Sayyid al-Tantawi menyatakan bahawa perkataan al-Khannas membawa erti kembali dan menjauhkan diri. (Lihat Tafsir al-Wasit, 15/549)
Justeru, dalam erti kata yang lain ia menggambarkan peranan syaitan yang menjauhkan diri ketika seseorang itu mengingati Allah dan kembali kepada manusia sekiranya manusia itu mula lupa kepada Allah. Menurut Saidina Abdullah bin Abbas, al-Khannas adalah syaitan yang bertenggek di hati manusia, apabila seseorang itu mengingati Allah dia akan lari, namun sekiranya seseorang itu leka dan lalai, maka syaitan ini akan datang mencampakkan keraguan dalam jiwa manusia supaya melakukan kemungkaran.(Lihat Tafsir al-Bayan, 6/745)
Syeikh Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa peranan syaitan yang menetap dalam jiwa manusia ini selaras dengan hadith sahih yang menyebutkan bahawa setiap manusia itu mempunyai qarinnya, termasuklah Rasulullah. Namun Rasulullah telah dipelihara daripada segala kejahatan makhluk ini. (Lihat Tafsir al-Munir, 30/481)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”