Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah manusia tidak dibiarkan tanpa petunjuk?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَهَدَيْنَاهُ النَّجْدَيْنِ

Maksudnya: “Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya dan jalan kejahatan untuk dijauhinya)”.

(Surah al-Balad: 10)

Syeikh al-Sa’di berkata: “Iaitu, dua jalan antara kebaikan dan kejahatan, di mana petunjuk terdapat di antara kesesatan, dan kebenaran di antara kesesatan itu. Oleh itu, limpahan nikmat ini menuntut hamba untuk memenuhi hak-hak Allah, bersyukur kepada-Nya atas nikmat-Nya, dan tidak menggunakan nikmat tersebut sebagai alasan untuk berbuat dosa. Namun, manusia tidak mengendahkannya.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 924)

Manusia Tidak Dibiarkan Tanpa Petunjuk

Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membiarkan manusia terkapai-kapai mencari kebenaran tanpa bimbingan seorang rasul. Seandainya terdapat suatu kaum yang tidak pernah diutuskan kepada mereka para rasul, lantas menyebabkan mereka tidak mengenal Allah SWT serta beriman dengan-Nya, golongan sebegini tidak akan diazab sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَث رَسُولًا

Maksudnya: Dan Kami tidak akan mengazab sesiapa pun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul..

(Surah al-Isra’: 15)

Al-Tabari menukilkan bahawa Qatadah berkata: Allah tidak mengazab seseorang sebelum dia menerima berita daripada Allah, atau datang kepadanya keterangan yang jelas dari Allah. Allah juga tidak mengazab seseorang kecuali kerana dosanya.”  (Lihat Jami’ al-Bayan, 14/526)

Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Nawawi berkata sepertimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari: Sekiranya tidak diazab mereka yang berakal kerana keadaan mereka yang tidak sampai seruan dakwah, maka tidak diazab orang yang tidak berakal adalah lebih utama. (Lihat Fath al-Bari, 4/462)

Ibn Kathir berkata: “Yang demikian itu merupakan pemberitahuan tentang keadilan Allah SWT di mana Dia tidak akan mengazab seorang pun melainkan setelah disampaikan hujjah kepadanya, yakni dengan pengutusan Rasul kepadanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/445)

Ketika membuat ulasan berkaitan ayat ini, Muhammad Sayyid Tantawi menukilkan penjelasan daripada Ibn Kathir dan al-Alusi yang menyatakan bahawa dengan rahmat Allah SWT dan keadilan-Nya, Dia tidak akan mengazabkan seorang pun melainkan setelah didatangkan atau diutuskan para rasul kepada mereka. (Lihat al-Tafsir al-Wasit Li al-Quran al-Karim, 15/56)

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami katakan bahawa Allah SWT tidak akan meninggalkan manusia ini tanpa diutuskan utusan dan rasulnya untuk mengajak bertauhid kepadanya dan sebagai hujjah kepadanya di akhirat kelak.

Sebagai penutup, kami nukilkan daripada Ibn Qayyim al-Jauziyyah yang menyebut: “Sesungguhnya azab itu layak diterima kerana dua sebab; pertama, tidak mahu mendengar hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua, berkeras setelah ditegakkan hujjah dan meninggalkan tanggungjawab berkaitan. Maka jenis yang pertama; kufur berpaling (enggan mendengar) dan yang kedua; kufur keras kepala. Adapun kufur kerana jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, jenis inilah yang Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah rasul. Sesungguhnya penegakan hujjah itu berbeza dengan berubahnya zaman, tempat dan individu. Mungkin dikira tertegaknya hujjah ke atas orang-orang kafir pada suatu zaman, tidak pula pada zaman yang lain. Juga dikira tertegak pada satu tempat atau kawasan, tidak pada tempat atau kawasan yang lain. Demikian untuk seseorang, namun tidak pada individu lain” (Lihat Tariq al-Hijratain, hlm. 438)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Leave a Reply