Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah perbezaan kalimah ahad dan wahid surah al-Ikhlas?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa”
(Surah al-Ikhlas: 1)
Abu Hayyan al-Andalusi menjelaskan bahawa kalimah Ahad (Esa) yang terkandung pada ayat 1 surah al-Ikhas ini memberikan maksud bahawa zat dan sifat Allah SWT itu adalah bersifat dengan Esa, tidak berjuzu’-juzu’. Sya’labi menjelaskan bahawa kalimah Wahid (satu) dan Ahad (Esa) mempunyai perbezaan yang ketara. Perkataan Wahid (satu) dalam bilangan biasa menunjukkan kepada bilangan yang boleh bertambah kepada dua, tiga dan sebagainya. Kalimah Ahad (Esa) membawa kepada makna keesaan semata-mata. Kerana itulah kalimah Ahad ini hanya disandarkan kepada Allah SWT semata-mata, tidak kepada mana-mana makhluk yang lain. Tambahan dari itu, al-Alusi menyatakan bahawa kalimah Ahad ini membawa maksud keesaan Allah SWT yang sememangnya sesekali tidak mempunyai bahagian-bahagian sepertimana kejadian makhluk ini. (Lihat al-Bahr al-Muhit fi al-Tafsir, 10/570)
Kami katakan, apabila Allah SWT membicarakan yang terkait dengan zat-Nya sebagaimana ditanya oleh orang-orang musyrikin, maka Allah SWT menggunakan kalimah Ahad, sebagaimana dalam ayat di atas. Ia memberi maksud wahdaniyyah, yang menafikan kam muttasil (berbilang-bilang secara bersambungan) dan kam munfasil (berbilang-bilang secara berpisah) bagi zat Allah.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”