Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah kita berdoa dengan menggunakan ayat dalam surah al-Ikhlas?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ١ ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ٢ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ٣ وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدٌۢ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”
(Surah al-Ikhlas: 1-4)
Pada zaman Rasulullah SAW, surah ini lebih dikenali sebagai Surah Qul Huwallahu Ahad. Ia adalah berdasarkan riwayat-riwayat hadith yang menunjukkan bagaimana Baginda dan para sahabat memanggil dan mengenali surah ini melalui ayat pertamanya. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/609)
Walau bagaimanapun, kebanyakan mushaf al-Quran menamakan surah ini dengan Surah al-Ikhlas. Penamaan ini menjadi popular disebabkan kerana namanya yang ringkas, serta ia mengandungi mesej utama surah, iaitu memperkukuhkan asas akidah. Perkataan ‘al-ikhlas’ membawa intipati utama surah ini, iaitu membimbing pembaca kepada penghayatan mengabdikan diri atau mengikhlaskan seluruh hidupnya untuk Allah SWT. Dalam mushaf yang diterbitkan di Tunisia, surah ini tertulis sebagai Surah al-Tauhid yang turut memberikan mesej yang hampir sama dengan ‘al-ikhlas’, iaitu menyucikan Allah SWT serta membersihkanNya dari segala kesyirikan. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/609)
Menjawab persoalan di atas, Ibn Majah dalam kitabnya Sunan Ibn Majah telah meriwayatkan satu hadith Nabi SAW mengenai seorang lelaki yang membacakan doa:
سَمِعَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ـ رَجُلاً يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِأَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ الأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ “ لَقَدْ سَأَلَ اللَّهَ بِاسْمِهِ الأَعْظَمِ الَّذِي إِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى وَإِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ ” .
Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya aku meminta kepada-Mu, bahwa diriku bersaksi sesungguhnya Engkau adalah Allah yang tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau Yang Maha Esa, Yang bergantung kepada-Mu segala sesuatu, Yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya,” kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh dirimu telah meminta kepada Allah dengan nama-Nya, yang jika Dia diminta dengannya (pasti akan) memberi, dan jika Dia diseru dengannya, (pasti akan) mengabulkannya.”
Riwayat Ibn Majah (3857)
Dalam kitab Syuruh Sunan Ibn Majah menjelaskan bahawa hadith ini adalah mengenai berdoa dengan menggunakan nama Allah yang Agung (Asma’ Allah al-‘Azham). Ketahuilah bahawa sesungguhnya nama Allah yang Agung ini berbeza-beza. Telah berkata al-Asy’ari dan al-Baqilani sesungguhnya nama-nama Allah itu semuanya adalah nama-nama yang agong. Tidak seharusnya kita ini melebihkan satu nama dengan nama yang lain. (Lihat Syuruh Sunan Ibn Majah oleh Abi ‘Ulfah Raid bin Basri, hlm. 1400)
Justeru, menjawab persoalan di atas, kita dibolehkan untuk berdoa kepada Allah SWT dengan surah al-Ikhlas dengan lafaz yang disebut dalam hadith. Hal ini kerana di dalam lafaz doa tersebut, terdapatnya nama Allah yang Agung (Asma’ Allah al-‘Azham) yang dibolehkan untuk kita berdoa dengan menyebut nama-nama-Nya yang agung.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”