Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita merasa bangga dengan nama kita yang membawa maksud syarak yang baik? Bukan bertujuan untuk membangga dengan orang lain tetapi untuk motivasi dalam diri. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, kami katakan bahawa menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak. Terdapat sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”
Riwayat Abu Daud (4948)
Kemudiannya, berkenaan hal penamaan ini juga, Ibn al-Qayyim ada menyebutkan bahawa nama terbahagi kepada tiga kategori:
- Pertamanya, nama yang khusus untuk kaum Muslimin.
- Keduanya, nama yang khusus untuk orang kafir (bukan Islam).
- Ketiganya, nama yang dikongsi bersama.
Di antara contoh nama pada kategori pertama adalah seperti Muhammad, Ahmad, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Talhah dan al-Zubair. Mereka – iaitu ahli Zimmah – tidak boleh dibenarkan untuk menggunakan nama-nama ini.
Kemudian di antara contoh nama pada kategori kedua adalah seperti Jurjus (George), Butrus (Peter), Yuhanna (John), Matta (Matthew) dan seumpamanya. Mereka tidak boleh dihalang daripada menggunakan nama-nama ini, tetapi tidak dibenarkan bagi orang Islam untuk menggunakan nama-nama ini, kerana padanya terdapat penyerupaan dalam sesuatu yang dikhususkan bagi mereka.
Kemudian di antara contoh nama pada kategori ketiga pula adalah seperti Yahya, Isa, Ayyub, Daud, Sulaiman, Zaid, ‘Amr, Abdullah, ‘Atiyyah, Mauhub, Salam dan sebagainya. Nama-nama ini tidak dilarang sama ada untuk ahli Zimmah atau kaum Muslimin. (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 3/1317).
Begitu juga tidak dapat dinafikan, nama berkemungkinan ada memberi kesan kepada orang yang diberikan nama tersebut. Atas sebab itu dan sebab-sebab lain, disyariatkan dalam Islam untuk memilih nama yang baik. Mengenai hal ini, Ibn al-Qayyim menyebutkan, oleh kerana nama-nama mengandungi makna dan menjadi sesuatu yang menunjukkan kepada mereka, maka sewajarnya ada kaitan atau hubungan antara makna nama dan objek yang membawa nama tersebut. Tidak sepatutnya makna itu tidak sesuai dengan objek dan tidak ada kaitan antara makna dan objek, kerana inilah yang ditetapkan oleh Yang Maha Bijaksana, dan realiti membuktikannya. Sesungguhnya nama mempunyai kesan yang besar pada objek yang dinamakan, dan objek yang membawa nama ini pasti akan dipengaruhi oleh nama ini, sama ada nama ini baik atau buruk, sama ada ia merujuk kepada makna ringan atau berat, kehalusan atau kekerasan. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 2/307).
Kemudian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa merasa bangga dengan nama kita kerana ia membawa maksud yang baik sekalipun tujuannya bukan untuk berbangga dengan orang lain tetapi sekadar memberi motivasi dalam diri sebaik-baiknya dielakkan perasaan tersebut. Sebaliknya kita sepatutnya bersyukur kepada Allah SWT kerana dikurniakan dengan nama yang baik, dan seterusnya berusaha untuk menjadi insan sebagaimana digambarkan oleh namanya itu.
Ini kerana dikhuatiri ia membawa seseorang itu kepada sikap takabbur, sekalipun pada awalnya niat dan tujuannya bukan begitu. Iblis telah dilaknat oleh Allah SWT bukan hanya kerana ia mengingkari perintah Tuhan untuk sujud kepada Nabi Adam A.S. Akan tetapi ia juga adalah disebabkan oleh Iblis menyangka dirinya jauh lebih baik dan mulia daripada Adam AS. Firman Allah SWT:
قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ
Maksudnya: “Allah berfirman: ‘Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?’ Iblis menjawab: ‘Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.’”
(Surah al-A‘raf: 12)
Inilah ego yang ditunjukkan oleh iblis yang merasakan dirinya jauh lebih baik daripada Adam A.S sedangkan yang lebih baik adalah orang yang paling bertaqwa. Disebabkan sikap takabbur tersebut, Allah SWT menghukumkan iblis dengan kufur sebagaimana firman-Nya:
أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.”
(Surah al-Baqarah: 34)
Justeru, sifat takabbur merupakan dosa yang pertama yang dilakukan oleh makhluk Allah SWT kepada-Nya yakni iblis telah mengingkari daripada mentaati perintah Allah SWT, maka balasannya kecelakaanlah dan kufurlah serta laknat daripada Allah SWT. Itulah besarnya dosa takabbur. Ini bertepatan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.”
Riwayat Muslim (51)
Bahkan Dr. Haron Din juga pernah diajukan soalan yang hampir sama, lalu beliau menjawab dengan menyatakan bahawa nama dibangga itu tak baik dan boleh membawa makna takabbur. Jika makna nama itu baik, alhamdulillah. Nama terbaik adalah nama-naka anbiya’ kerana nama-nama anbiya’ itu memang nama yang terbaik. Jadi jangan bangga nama yang ada tetapi bersyukur ada nama baik. (Lihat Petua Menelusuri Ilmu Pengubatan Islam, hlm. 45).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”