Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan fadhilat surah al-Ikhlas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ (١) ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ (٢) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (٣) وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدٌۢ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”

(Surah al-Ikhlas: 1-4)

Disebut dalam Tafsir al-Bayan (6/722): Fadhail surah al-Ikhlas ini merangkumi kelebihannya secara khusus dan juga kelebihannya merangkumi al-Mu’awwizat ( المعوذات) iaitu surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas. 

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan beberapa riwayat berkenaan fadhail surah al-Ikhlas. Antaranya adalah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa  Nabi SAW bersabda:

«أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ فِي لَيْلَةٍ ثُلُثَ الْقُرْآنِ؟» قَالُوا: وَكَيْفَ يَقْرَأْ ثُلُثَ الْقُرْآنِ؟ قَالَ: «قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ تَعْدِلُ ثُلُثَ الْقُرْآنِ» 

Maksudnya: “Adakah setiap daripada kamu merasa sukar untuk membaca satu pertiga al-Quran dalam tempoh semalaman?” Para sahabat R.A berkata: Bagaimana seseorang boleh membaca satu pertiga al-Quran? Sabda Nabi SAW: “قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ” menyamai satu pertiga al-Quran”.

Riwayat Muslim (811)

Walaupun Surah al-Ikhlas memberi ganjaran satu pertiga al-Quran, ia tidak boleh dianggap sebagai gantian kepada membaca satu pertiga al-Quran itu sendiri. Walaupun pembaca surah tersebut menerima ganjaran setara dengan satu pertiga al-Quran, ini tidak bermakna ganjarannya sama dengan yang terdapat dalam ayat atau surah lain dalam al-Quran. Oleh itu, membaca keseluruhan al-Quran dianggap lebih baik daripada membaca surah al-Ikhlas tiga kali, walaupun jumlah ganjaran sama; perbezaannya terletak pada perrincian nilai ganjaran tersebut.

Dalam hal ini juga, pandangan ulama yang lebih benar tentang hadith membaca surah al-Ikhlas menyamai 1/3 al-Quran adalah yang menyatakan surah al-Ikhlas merangkumkan 1/3 dari bahagian al-Quran. Hal ini kerana al-Quran diturunkan dalam tiga bahagian: 

  • 1/3 tentang hukum-hakam.  
  • 1/3 tentang janji surga dan ancaman siksa neraka. 
  • 1/3 tentang asma’ dan sifat.  

Maka surah al-Ikhlas menghimpunkan bahagian asma’ dan sifat Allah SWT. Inilah pandangan Abu al-Abbas bin Suraij. Pandangan ini dinilai baik oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 17/103) 

Diriwayatkan daripada  ‘Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ رَجُلًا عَلَى سَرِيَّةٍ، وَكَانَ يَقْرَأُ لِأَصْحَابِهِ فِي صَلَاتِهِمْ، فَيَخْتِمُ بِقُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ، فَلَمَّا رَجَعُوا ذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «سَلُوهُ لِأَيِّ شَيْءٍ يَصْنَعُ ذَلِكَ؟» فَسَأَلُوهُ، فَقَالَ: لِأَنَّهَا صِفَةُ الرَّحْمَنِ، فَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَقْرَأَ بِهَا، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَخْبِرُوهُ أَنَّ اللهَ يُحِبُّهُ»

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW melantik seorang lelaki mengetuai sekumpulan tentera risikan. Ketika lelaki ini menjadi imam bagi kumpulan tenteranya, beliau membaca sehingga akhir قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ. Apabila kumpulan tentera ini pulang, mereka menceritakan perkara tersebut kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW: “Tanyakan kepadanya mengapa dia melakukannya?’ Para sahabat R.A bertanya kepada lelaki tersebut dan beliau menjawab: Kerana ia mengandungi sifat al-Rahman, dan aku suka untuk membacanya. Maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Khabarkan kepada dia, bahawa Allah menyayanginya”.

Riwayat Muslim (813)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَقْبَلْتُ مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَمِعَ رَجُلاً يَقْرَأُ:  قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ (١) ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ . فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَجَبَتْ. قُلْتُ: مَا وَجَبَتْ؟ قَالَ: الجَنَّةُ 

Maksudnya: Aku berjalan bersama-sama dengan Rasulullah SAW dan Baginda terdengar seorang lelaki membaca قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ (١) ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ . Baginda lantas berkata: “Wajib baginya”. Aku berkata: Apakah yang wajib wahai Rasulullah? Sabda Nabi SAW: “Syurga”.

Riwayat al-Tirmizi (2897) dan beliau menyatakan hadith ini hasan sahih gharib

Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اشْتَكَى يَقْرَأُ عَلَى نَفْسِهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ وَيَنْفُثُ، فَلَمَّا اشْتَدَّ وَجَعُهُ كُنْتُ أَقْرَأُ عَلَيْهِ وَأَمْسَحُ بِيَدِهِ رَجَاءَ بَرَكَتِهَا» 

Maksudnya: Sesungguhnya apabila Rasulullah SAW mengadu sakit, Baginda akan membacakan ke atas dirinya الْمُعَوِّذَاتِ dan meniupkan kepada diri Baginda. Apabila sakit Baginda semakin berat, maka akulah yang membacakan surah tersebut kepada Nabi SAW dan menyapukan tubuh Baginda dengan tangan Baginda sendiri kerana keberkatannya.

Riwayat al-Bukhari (5016)

Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ، ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا: قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ   وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ، ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ، يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ.  

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah R.Anha berkata: Sesungguhnya apabila Nabi SAW hendak berbaring di atas hamparannya pada setiap malam, Baginda akan mengangkat kedua tapak tangannya, meniup kepada kedua-duanya dan membacakan kepada kedua-dua tangan Baginda dengan قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ dan قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ serta قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ. Kemudian Nabi SAW akan menyapu seluruh tubuhnya dengan kedua-dua tapak tangan Baginda semampunya. Nabi SAW memulakan dengan kepala Baginda, wajah, dan apa yang sampai daripada tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.   

Riwayat al-Bukhari (5017)

Justeru, jelaslah bahawa antara fadhail surah al-Ikhlas adalah dengan membacanya, ganjarannya menyamainya dengan membaca 1/3 al-Quran. Surah al-Ikhlas juga merupakan surah yang disukai oleh Allah SWT kerana padanya juga ada nama-nama dan sifat-sifat Allah yang maha Agung. Selain itu, surah al-Ikhlas juga antara surah yang dijadikan oleh Rasulullah SAW untuk berlindung kepada Allah SWT bersama dengan surah al-Falaq dan Surah al-Nas.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply