Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kisahkan berkenaan kesudahan anak Abu Lahab yang bernama Utaibah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ (١) مَآ أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُۥ وَمَا كَسَبَ (٢) سَيَصْلَىٰ نَارًۭا ذَاتَ لَهَبٍۢ (٣) وَٱمْرَأَتُهُۥ حَمَّالَةَ ٱلْحَطَبِ (٤) فِى جِيدِهَا حَبْلٌۭ مِّن مَّسَدٍۭ
Maksudnya: Celakalah kedua belah tangan Abu Lahab dan celakalah dia. Hartanya dan apa yang diusahakannya tidak berguna baginya. Dia akan merasai bakaran neraka yang mempunyai api yang marak membakar. Begitu juga isterinya; menjadi pembawa kayu api yang dahulunya suka menyebar fitnah dan mengadu domba. Di lehernya pada hari kiamat ada tali yang tersimpul mati untuk menariknya ke neraka.
(Surah al-Masad: 1-5)
Allah SWT memberi contoh yang jelas berkaitan orang yang mendapat kerugian sama ada lelaki atau perempuan. Contoh tersebut berlaku kepada bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abu Lahab dan isterinya yang bernama Ummu Jamil. Abu Lahab dan isteri adalah orang yang banyak melakukan perkara fasiq; tidak menerima janji Allah dan melakukan kerosakan di muka bumi yang menyebabkan mereka ditimpa kesesatan. Surah ini diturunkan di permulaan dakwah Islam. Dan sebagaimana diketahui, ramai pemuka Quraisy yang memerangi Islam di permulaannya seperti Umar Ibn al-Khattab, Khalid Ibn al-Walid, Abu Sufian dan lain-lain tetapi mereka pada akhirnya memeluk agama Islam.
Dalam surah ini dinyatakan nama Abu Lahab dan isterinya di mana kedua-duanya akan dikenakan azab api neraka. Ini adalah khabar ghaib di mana kedua-duanya akan mati dengan kufur kepada Allah SWT. Walhal ketika surah ini diturunkan, mereka berdua masih hidup dan mempunyai masa yang banyak untuk memeluk agama Islam tetapi ia tidak berlaku. Ini menunjukkan kepada salah satu aspek kemukjizatan al-Quran dalam memberi khabar masa hadapan, dan ia berlaku seperti yang termaktub di dalam al-Quran. Kedua-duanya masuk neraka dan menjadi bahan bakarnya. Mana lagi kerugian yang lebih besar daripada itu? Kerugian sebenar bukanlah kehilangan harta dan anak tetapi kerugian sebenar ialah bilamana seseorang itu mendapat kejian atau hinaan daripada Allah SWT.
Pengakhiran Anak Abu Lahab Bernama ‘Utaibah
Anak Abu Lahab bernama ‘Utaibah bin ‘Abd al-‘Uzza (Abu Lahab) bin ‘Abd al-Muttalib, merupakan sepupu Nabi SAW. Ibunya ialah Ummu Jamil binti Harb bin Umayyah. (Lihat Usd al-Ghabah, 3/562).
‘Utaibah mempunyai beberapa saudara, antaranya yang bernama ‘Utbah dan Durrah. Kedua-dua saudaranya itu memeluk agama Islam. Hanya ‘Utaibah sahaja yang tidak ikut memeluk Islam.
Diceritakan bahawa Abu Lahab dan anaknya, ‘Utaibah telah menghina Nabi SAW sehinggakan Baginda SAW mendoakan keburukan kepadanya dengan doa:
اللَّهُمَّ سَلِّطْ عَلَيْهِ كَلْبًا مِنْ كِلَابِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, kirimkanlah ke atas mereka seekor anjing (binatang buas) yang Engkau ciptakan daripada haiwan-haiwan buas (ciptaan)Mu.”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (10346) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (3984).
‘Utaibah telah mati sebelum peristiwa pembukaan kota Makkah. Dia telah diterkam haiwan buas tatkala dalam perjalanan menuju ke bumi Syam. Meskipun ayahnya Abu Lahab berusaha menjaganya, namun doa Nabi SAW yang mustajab tetap tidak mampu untuk menghalangnya.
Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ahli sejarah berkenaan orang yang terkena doa tersebut. Ada menyatakan bahawa ‘Utbah yang terkena doa itu. Namun, pendapat yang paling kuat adalah yang menyebut bahawa orang yang terkena doa tersebut ialah saudaranya, iaitu ‘Utaibah bin Abu Lahab. Dia telah diterkam oleh singa di kawasan al-Zarqa, di Syam. Kejadian tersebut berlaku pada waktu malam. Ketika itu, dia sedang tidur bersama rombongannya. (Lihat al-Isabah, 6/122 dan Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi, 2/339).
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”