Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan sebab nuzul Surah al-Masad?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ (١) مَآ أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُۥ وَمَا كَسَبَ (٢) سَيَصْلَىٰ نَارًۭا ذَاتَ لَهَبٍۢ (٣) وَٱمْرَأَتُهُۥ حَمَّالَةَ ٱلْحَطَبِ (٤) فِى جِيدِهَا حَبْلٌۭ مِّن مَّسَدٍۭ
Maksudnya: Celakalah kedua belah tangan Abu Lahab dan celakalah dia. Hartanya dan apa yang diusahakannya tidak berguna baginya. Dia akan merasai bakaran neraka yang mempunyai api yang marak membakar. Begitu juga isterinya; menjadi pembawa kayu api yang dahulunya suka menyebar fitnah dan mengadu domba. Di lehernya pada hari kiamat ada tali yang tersimpul mati untuk menariknya ke neraka.
(Surah al-Masad: 1-5)
Allah SWT memberi contoh yang jelas berkaitan orang yang mendapat kerugian sama ada lelaki atau perempuan. Contoh tersebut berlaku kepada bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abu Lahab dan isterinya yang bernama Ummu Jamil. Abu Lahab dan isteri adalah orang yang banyak melakukan perkara fasiq; tidak menerima janji Allah dan melakukan kerosakan di muka bumi yang menyebabkan mereka ditimpa kesesatan. Surah ini diturunkan di permulaan dakwah Islam. Dan sebagaimana diketahui, ramai pemuka Quraisy yang memerangi Islam di permulaannya seperti Umar Ibn al-Khattab, Khalid Ibn al-Walid, Abu Sufian dan lain-lain tetapi mereka pada akhirnya memeluk agama Islam.
Dalam surah ini dinyatakan nama Abu Lahab dan isterinya di mana kedua-duanya akan dikenakan azab api neraka. Ini adalah khabar ghaib di mana kedua-duanya akan mati dengan kufur kepada Allah SWT. Walhal ketika surah ini diturunkan, mereka berdua masih hidup dan mempunyai masa yang banyak untuk memeluk agama Islam tetapi ia tidak berlaku. Ini menunjukkan kepada salah satu aspek kemukjizatan al-Quran dalam memberi khabar masa hadapan, dan ia berlaku seperti yang termaktub di dalam al-Quran. Kedua-duanya masuk neraka dan menjadi bahan bakarnya. Mana lagi kerugian yang lebih besar daripada itu? Kerugian sebenar bukanlah kehilangan harta dan anak tetapi kerugian sebenar ialah bilamana seseorang itu mendapat kejian atau hinaan daripada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/715)
Menjawab persoalan di atas, Antara hadith yang menunjukkan penurunan surah ini, adalah sebagaimana riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:
لَمَّا نَزَلَتْ: {وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الأَقْرَبِينَ}، صَعِدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الصَّفَا، فَجَعَلَ يُنَادِي: «يَا بَنِي فِهْرٍ، يَا بَنِي عَدِيٍّ» – لِبُطُونِ قُرَيْشٍ – حَتَّى اجْتَمَعُوا فَجَعَلَ الرَّجُلُ إِذَا لَمْ يَسْتَطِعْ أَنْ يَخْرُجَ أَرْسَلَ رَسُولًا لِيَنْظُرَ مَا هُوَ، فَجَاءَ أَبُو لَهَبٍ وَقُرَيْشٌ، فَقَالَ: «أَرَأَيْتَكُمْ لَوْ أَخْبَرْتُكُمْ أَنَّ خَيْلًا بِالوَادِي تُرِيدُ أَنْ تُغِيرَ عَلَيْكُمْ، أَكُنْتُمْ مُصَدِّقِيَّ؟» قَالُوا: نَعَمْ، مَا جَرَّبْنَا عَلَيْكَ إِلَّا صِدْقًا، قَالَ: «فَإِنِّي نَذِيرٌ لَكُمْ بَيْنَ يَدَيْ عَذَابٍ شَدِيدٍ» فَقَالَ أَبُو لَهَبٍ: تَبًّا لَكَ سَائِرَ اليَوْمِ، أَلِهَذَا جَمَعْتَنَا؟ فَنَزَلَتْ: {تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ مَا أَغْنَى عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ}.
Maksudnya: “Ketika turunnya (Firman Allah Taala): “وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الأَقْرَبِينَ” (Maksudnya: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.”)[Surah al-Syu‘ara’: 214], Nabi SAW panjat ke atas Gunung Safa dan mulalah Baginda menyeru: “Wahai Bani Fihr! Wahai Bani ‘Adi!” – iaitu suku-suku Quraisy – sehinggalah mereka berkumpul. Bahkan apabila seseorang tidak dapat keluar, dia akan mengirim utusan untuk melihat apa yang terjadi. Maka Abu Lahab dan kaum Quraisy datang. Lalu Baginda bersabda: “Bagaimana pendapat kamu jika aku khabarkan kepada kamu bahawa ada pasukan berkuda di lembah yang ingin menyerang kamu, adakah kamu mempercayaiku?” Mereka berkata: “Ya, kami tidak pernah mendapati kecuali engkau seorang yang jujur.” Baginda berkata: “Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan bagi kamu sebelum datang azab yang dahsyat (di akhirat).” Abu Lahab berkata: “Celakalah engkau sepanjang hari, adakah untuk ini engkau kumpulkan kami?.” Maka turunlah (ayat): “تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ مَا أَغْنَى عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ” (Maksudnya: “Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya.”) [Surah al-Masad: 1-2]
Riwayat al-Bukhari (4770)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”