Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan refleksi ciri-ciri ‘Ibadur Rahman dalam masyarakat moden sebagaimana dalam surah al-Furqan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَعِبَادُ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى ٱلْأَرْضِ هَوْنًۭا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلْجَـٰهِلُونَ قَالُوا۟ سَلَـٰمًۭا ٦٣ وَٱلَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًۭا وَقِيَـٰمًۭا ٦٤ وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ ۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا
Maksudnya: “Dan hamba al-Rahman itu, ialah mereka yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati; dan apabila orang jahil berbicara dengan kata-kata yang kesat, mereka membalasnya dengan kata-kata yang baik. Dan merekalah yang menghabiskan waktu malam beribadat dengan sujud dan berdiri kerana Tuhan mereka. Dan mereka juga berdoa: “Wahai Tuhan kami, jauhkanlah azab api Neraka Jahannam daripada kami, sesungguhnya azab tersebut menyebabkan kesakitan yang kekal.”
(Surah al-Furqan: 63-65)
Dalam Tafsir al-Bayan, disebutkan: Cara hidup ‘Ibadur Rahman pada waktu siang bersama manusia lain, manakala aktiviti hidup mereka pada waktu malam adalah menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan membesarkan-Nya dan takutkan azab-Nya dengan penuh keinsafan. Amalan golongan ‘Ibadur Rahman yang dizahirkan melalui gerak sujud dan berdiri ketika menunaikan ibadat solat bertujuan untuk menggambarkan kegiatan mereka pada waktu malam ketika manusia lain sedang tidur nyenyak. Mereka ialah golongan yang banyak mengerjakan ibadat solat pada waktu malam dengan penuh keikhlasan. Golongan ini tidak mementingkan tidur yang nyeyak dan berehat kerana menunaikan ibadat lebih mendatangkan kerehatan dan kenikmatan kepada jiwa bagi mereka.
Hati dan jiwa golongan ‘Ibadur Rahman dipenuhi dengan rasa takwa dan takut kepada azab Neraka Jahannam dan mereka berdoa dengan penuh pengharapan agar Allah SWT menjauhkan mereka daripada azab tersebut. Ini kerana, azab Neraka Jahannam ialah seburuk-buruk tempat tinggal. Mereka menyerahkan diri kepada Allah SWT dengan penuh khusyuk dan rendah diri agar dijauhkan daripada azab pada hari Kiamat nanti. Sungguhpun pelbagai amalan dengan penuh khusyuk yang dilakukan oleh mereka, namun golongan ini memandang amalan tersebut amatlah sedikit berbanding dengan pelbagai kurniaan dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/690)
Ciri-Ciri ‘Ibadur Rahman dalam Masyarakat Moden
Golongan ‘Ibadur Rahman ialah golongan yang golongan terpilih di sisi Allah SWT kerana mempunyai ciri-ciri tersendiri. Ciri-ciri ini tidaklah terikat dengan suatu kerangka masa sebaliknya terus relevan mendepani zaman sehinggalah Hari Kiamat.
Pertamanya, mereka berjalan di bumi ini dengan gaya sederhana tanpa berpura-pura untuk mengambil perhatian orang supaya tiada sifat sombong dalam diri mereka. Dari satu sudut, gaya berjalan menggambarkan peribadi seseorang dan mencerminkan pemikiran yang tersembunyi dalam jiwanya. Jiwa yang normal, tenang, serius dan bermatlamat, dicerminkan dengan cara melangkah yang normal, sopan, tenang, gagah dan sungguh-sungguh. Perjalanan mereka tidak ada gaya si sombong yang meninggi diri, atau lemah longlai tidak bermaya.
Daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa beliau menyifatkan gaya Rasulullah SAW berjalan yang cergas dan tidak lemah serta malas. Katanya:
إِذَا مَشَى تَكَفَّأَ تَكَفُّؤًا كَأَنَّمَا يَنْحَطُّ مِنْ صَبَبٍ لَمْ أَرَ قَبْلَهُ وَلَا بَعْدَهُ مِثْلَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: Apabila Nabi SAW berjalan, Baginda menghentakkan kakinya seperti turun dari tempat yang tinggi. Aku tidak pernah melihat seseorang sebelumnya atau selepas daripadanya yang seumpama Baginda SAW.
Riwayat al-Tirmizi (3637). Beliau menyatakan hadith ini hasan sahih
Daripada sudut yang lain, sifat ini menunjukkan sifat tawaduk dan taat kepada Allah SWT. Ini tidak dapat dicapai melainkan dengan ilmu pengetahuan tentang ketuhanan Allah SWT, berasa takut akan kehebatan-Nya serta mempelajari hukum hakam supaya dapat melaksanakan syariat-Nya. Hal ini berbeza dengan golongan ateis pada zaman ini yang berlindung di bawah fahaman saintisme. Mereka begitu spontan menafikan kewujudan Tuhan tetapi melakukan syirik apabila mereka boleh mempercayai bahawa manusia dengan kemampuan minda mempunyai misi mencari “Grand Unified Theory of Everything” (Teori Kesatuan Raya Segala Sesuatu). Padahal jika mereka jujur dengan mereka sendiri, nescaya penelitian mereka terhadap fenomena alam semesta dengan segala aturannya akan membuktikan bahawa wujud Pencipta yang Esa, yang tidak dicipta, yang mentadbir semua itu dengan kebijaksanaan dan keadilan.
Golongan ‘Ibadur Rahman juga apabila bertutur kata, mereka menggunakan ucapan atau ungkapan yang baik walaupun berhadapan ataupun berlakunya perdebatan dengan orang jahil. Mereka mengelakkan daripada mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh menyinggung perasaan orang lain yang berbicara dengannya. Pada waktu malam hari, mereka tekun menjalankan ibadah kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh serta ikhlas mengharapkan redha-Nya. Mereka sedaya upaya menghakis sifat sombong, jika ada pada diri mereka kerana sifat tersebut tidak layak bagi seorang hamba Allah SWT. Hal ini berbeza dengan masyarakat yang sudah hilang adab kerana meninggalkan tauhid. Tanpa adab yang luhur, masyarakat hilang punca kuasa untuk memahami keadilan seterusnya mengikut hawa nafsu dalam berfikir. Maka timbullah kata-kata kesat yang menolak kebenaran, berfikir tanpa disiplin, melakukan falasi dalam berhujah kerana tidak mengenal siapakah yang berautoriti dalam mengambil ilmu pengetahuan.
Dari aspek hubungan dengan Allah SWT, mereka banyak berdoa kepada-Nya dengan memohon kebaikan sama ada untuk kehidupan di dunia mahupun akhirat yang kekal abadi serta tidak akan sama sekali menyekutukan Allah SWT. Dalam perhubungan sesama manusia, mereka menjaga tingkah laku dengan tidak melakukan pembunuhan terhadap orang lain, yang diharamkan oleh Allah SWT serta menjauhkan diri daripada perbuatan terkutuk seperti zina. Hari ini banyak negara tidak meletakkan zina sebagai jenayah. Menurut sebahagian manusia, zina ialah perkara peribadi di antara dua orang dewasa yang memiliki autonomi penuh terhadap diri mereka. Justeru, ia tidak patut dihalang kerana ia dilakukan di atas persetujuan bersama tanpa menyakiti mana-mana pihak. Hal ini tidaklah benar kerana apabila Islam mewajibkan nikah sebagai lesen untuk bersetubuh, ia datang dengan ilmu dan tanggungjawab. Sebaliknya, zina ibarat pemandu yang tidak berlesen, yang memandu kereta milik orang lain. Salah dan tidak bertanggungjawab. Justeru, jangan hairan apabila statistik melaporkan bahawa Amerika Syarikat menjadi penyumbang terbesar terhadap fenomena ibu tunggal sehingga dalam tempoh masa 8 tahun terhadap 23% anak-anak yang dilahirkan tanpa bapa daripada perkahwinan yang sah.
Golongan ‘Ibadur Rahman juga banyak melakukan infak pada jalan Allah SWT serta mengamalkan sikap bersederhana dengan tidak membazir serta tidak pula kedekut dalam membelanjakan rezeki. Mereka sentiasa meninggalkan perbuatan munkar dan hatinya sentiasa bertaubat kepada Allah SWT serta memperbanyakkan amalan soleh dalam kehidupan. Justeru, menjadi salah seorang daripada ‘Ibadur Rahman hari ini merupakan perkara penting bagi setiap individu dalam mendepani cabaran moral dan pemikiran yang mendatang. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/694-696)
Kesimpulan
Al-Quran telah mengemukakan satu kerangka model yang jelas melalui konsep ‘Ibadur Rahman yang perlu dijadikan panduan umat Islam kini untuk menjalani kehidupan seharian serta bagi mendepani permasalahan hilangnya jati diri seorang Muslim yang sebenar. Konsep ‘Ibadur Rahman telah berjaya memberi motivasi kepada Rasulullah SAW dalam menjalankan aktiviti dakwah, sungguhpun pelbagai penghinaan, cercaan, makian dan pelbagai lagi rintangan yang dihadapi oleh Baginda. Oleh itu, hendaklah kita benar-benar berakhlak dengan konsep ini.
Setiap Muslim pada hari ini perlu menerapkan konsep ‘Ibadur Rahman dalam kehidupan kekeluargaan masing-masing semenjak dari awal lagi kerana ia adalah sebagai salah satu usaha bagi melahirkan generasi rabbani pada masa hadapan. Kegagalan mendepani cabaran modernisasi kerana cuai dengan karakteristik ‘Ibadur Rahman akan menyebabkan manusia sengsara di dunia dan akhirat.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”