Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum seseorang mengatakan al-Quran itu adalah makhluk? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

الٓمٓ ١ ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًۭى لِّلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Alif, Laam, Miim (1). Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

(Surah al-Baqarah: 1-2)

Kami mulakan dengan takrif al-Quran terlebih dahulu:

Definisi al-Quran dan dan Kemuliaannya

Menurut al-Qamus al-Muhit (1/49), al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan. Menurut al-Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧)‏ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.

(Surah al-Qiyamah: 17-18)

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qira’atuh (bacaannya/cara membacanya). (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, 2/722)

Firman Allah SWT:

وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya:Dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

( Surah al-Isra’: 78)

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar). (Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 2/197-198)

Dari sudut Istilah, al-Quran adalah kalam tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya. (Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2)

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. (Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8)

Makna al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa – Al-Quran adalah Kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mazhaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah. (Lihat Mabahith fi Ulum al-Quran, hlm 21)

Definisi al-Quran dari sudut Istilah yang masyhur ialah: Kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

Menjawab persoalan di atas, al-Quran ialah Kalamullah, kitab-Nya, khitab-Nya dan wahyu-Nya yang diturunkan-Nya dan bukan makhluk. Sesiapa yang berkata al-Quran itu adalah makhluk, sesungguhnya dia telah menjadi kufur. Ini kerana ia adalah sifat daripada sifat-sifat-Nya dan ia bersifat Qidam. Al-Quran telah diturunkan kepada Rasulullah SAW oleh malaikat Jibril A.S dalam bahasa Arab untuk kaum untuk mengajarkan kepada mereka berita gembira dan juga memberi peringatan. Firman Allah SWT:

نَزَلَ بِهِ ٱلرُّوحُ ٱلْأَمِينُ ١٩٣ عَلَىٰ قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ ٱلْمُنذِرِينَ ١٩٤ بِلِسَانٍ عَرَبِىٍّۢ مُّبِينٍۢ

Maksudnya: “Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah (193). Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia) (194). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata (195).”

(Surah al-Syu‘ara’: 193-195)

Begitu juga al-Quran telah disampaikan oleh Rasul-Nya kepada umat sebagaimana perintah Allah SWT:

 يَـٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ بَلِّغْ مَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ۖ

Maksudnya: “Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu.

(Surah al-Ma’idah: 67)

Justeru, wajib untuk kita beriktikad bahawa semuanya, yakni al-Quran itu adalah kalamullah dan beriman dengannya serta ia sesekali bukan makhluk sebagaimana kalam manusia. Bahkan, Allah SWT memberi ancaman kepada orang yang menghinanya dan menafikannya sebagaimana firman Allah SWT:

فَقَالَ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا سِحْرٌۭ يُؤْثَرُ ٢٤ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا قَوْلُ ٱلْبَشَرِ ٢٥ سَأُصْلِيهِ سَقَرَ ٢٦ وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا سَقَرُ

Maksudnya: “Serta dia berkata: ‘(al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya) (24); ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!’ (25) (Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar (26) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu?

(Surah al-Muddatthir: 24-27)

Maka dapatlah kita ketahui bahawa al-Quran itu adalah kalamullah yang tidak sama dengan kalam manusia. Inilah jawapan Ibn al-‘Attar dengan tegas seraya berkata, sesiapa yang menyifatkan Allah dengan makna daripada makna-makna manusia, maka dia telah dianggap kufur. (Lihat al-I‘tiqad al-Khalis min al-Syak wa al-Intiqad, hlm. 153-156).

Pendapat yang sama turut dikemukakan oleh Abu Bakar Ibn Khuzaimah bahawa sesungguhnya al-Quran adalah kalamullah yang bukan makhluk. Sesiapa yang berkata bahawa kalamullah itu adalah makhluk maka dia telah kafir dengan Allah, tidak diterima penyaksiannya, tidak diziarahi jika dia sakit, tidak disolatkan jika dia mati dan tidak dikebumikan di perkuburan Islam. Hendaklah disuruh dia bertaubat, dan jika dia bertaubat maka selamatlah dia, jika tidak (yakni enggan) maka hendaklah dia dibunuh. (Lihat Aqidah al-Salaf, hlm. 167-168).

Semoga kita beriman dengan al-Quran dengan keimanan yang sebenar-benarnya dan mendapat petunjuk daripadanya. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply