Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan maksud al-Kauthar?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّآ أَعْطَيْنَـٰكَ ٱلْكَوْثَرَ ١ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ ٢ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلْأَبْتَرُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu kebaikan yang banyak, antaranya sungai al-Kauthar di syurga. Maka solatlah engkau dan sembelihlah korban. Sesungguhnya orang yang mengejimu itulah yang terputus daripada kebaikan dan tidak akan diingati melainkan dengan kejahatan.”
(Surah al-Kauthar: 1-3)
Menjawab persoalan di atas, Abu Hayyan menyatakan bahawa al-Kauthar mempunyai 26 pendapat di dalam menafsirkan maksudnya, dan yang paling sahihnya ialah satu sungai dalam syurga sebagaimana sabda Nabi SAW: “Al-Kauthar ialah satu sungai dalam syurga, dua tebingnya daripada emas, laluan airnya daripada permata yaqut, tanahnya lebih wangi daripada kasturi dan airnya lebih manis daripada madu.” (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/680)
Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan:
الكَوْثَــرُ الخَيـْــرُ الكَثِيرُ الَّذِي أَعْطَاهُ اللَّهُ إِيَّاهُ
Maksudnya: “Al-Kauthar itu ialah kebaikan yang banyak yang Allah SWT kurniakan pada sungai di dalam syurga.”
Riwayat al-Bukhari (6578)
Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَأَعْطَانِي الْكَوْثَرَ فَهُوَ نَهْرٌ مِنَ الْجَنَّةِ يَسِيلُ فِي حَوْضِي
Maksudnya: “Dan Allah memberiku Al-Kauthar, ia adalah sungai dari al-Jannah (Syurga) yang mengalir ke telaga haudh-ku.”
Riwayat Ahmad (23336). Ibnu Kathir menyatakan bahawa sanad dan matannya hasan
Juga diriwayatkan dari Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
بَيْنَمَا أَنَا أَسِيرُ فِي الجَنَّةِ، إِذَا أَنَا بِنَهَرٍ، حَافَتَاهُ قِبَابُ الدُّرِّ المُجَوَّفِ، قُلْتُ: مَا هَذَا يَا جِبْرِيلُ؟ قَالَ: هَذَا الكَوْثَرُ، الَّذِي أَعْطَاكَ رَبُّكَ، فَإِذَا طِينُهُ – أَوْ طِيبُهُ – مِسْكٌ أَذْفَرُ» شَكَّ هُدْبَةُ.
Maksudnya: “Ketika aku sedang berjalan di syurga, tiba-tiba aku berada di sebatang sungai yang kedua-dua tepinya adalah butiran-butiran mutiara yang diukir. Aku kemudian berkata: ‘Apa ini wahai Jibril?’ (Jibril) berkata: ‘Ini adalah telaga al-Kauthar, yang dianugerahkan Tuhanmu kepadamu.’ Ternyata tanahnya – atau baunya – adalah kasturi yang semerbak.” Hudbah ragu (tentang tanah atau baunya).”
Riwayat al-Bukhari (6581)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”