Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum seorang lelaki melafazkan cerai kepada wanita ajnabi yang belum dikahwininya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dari sudut bahasa, talak bermaksud lepas dan terlepas. Sementara dari sudut syarak, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan seumpamanya. Secara lebih jelas, pengertian talak sepertimana disebut dalam al-Qamus al-Fiqhi boleh difahami seperti berikut:
- Mengangkat ikatan perkahwinan.
- Menghilangkan penguasaan terhadap isteri dengan lafaz yang jelas atau kinayah yang zahir atau dengan lafaz yang tertentu disertakan bersama niat. Hal ini sepertimana disebut oleh al-Dusuqi.
- Mengangkat ikatan perkahwinan pada masa tersebut atau akan datang dengan lafaz yang khusus atau yang mengambil kedudukannya. (Lihat Dur al-Mukhtar,hlm.3/226, al-Mughni, 16/192 dan Mughni al-Muhtaj,3/279) .
Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat pula bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.
Firman Allah SWT:
ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ
Maksudnya :” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Sheikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya: “Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)
Talak merupakan jalan terakhir yang digunakan oleh suami dalam penyelesaian masalah sekiranya tidak dapat dielakkan. Namun, sekiranya perkara ini digunakan hanya untuk memuaskan nafsunya, maka talak itu dianggap halal, namun perkara itu amat dibenci oleh Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/120)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa seseorang leaki tidak memiliki hak untuk mentalakkan wanita melainkan setelah menjalinkan hubungan perkahwinan yang sah. Ini bermaksud talak itu tidak dimiliki olehnya sebelum memiliki isteri yang sah di sisi syara’. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Amru Bin Syu’aib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا طَلَاقَ لَهُ فِيمَا لَا يَمْلِكُ
Maksudnya: Tidak ada talak pada apa yang tidak dia miliki
Riwayat Abu Dawud (2190) dan al-Tirmizi(1181)
Apa yang dapat difahami melalui hadith di atas apa-apa tindakan tidak sah dan tidak dikenakan sebarang hukuman melainkan pada apa yang telah dimiliki. Apa yang bukan bawah pemilikiannya tidak dibolehkan baginya untuk melakukan apa-apa terhadapnya. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
وَلَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ
Maksudnya: Janganlah kamu jual barang yang tiada padamu.
Riwayat Abi Daud (3503)
Yang demikian termasuklah juga perihal talak. Tidak sah talak sekiranya dia melafakan kepada perempuan ajnabi yang bukan isterinya kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:
الطََّلاقُ لِمَنْ أَخَذَ بِالسَّاقِ
Maksudnya: Talak itu hak bagi orang yang memegang betis.
Riwayat Ibn Majah(2081)
Dalam isu ini Al-Syairazi menyatakan dalam kitabnya al-Muhazzab fi Fiqh Imam al-Syafi’i menyatakan bahawa: Adapun talak bagi yang belum berkahwin adalah tidak sah. Jika seseorang itu mengatakan: “Sekiranya aku mengahwini seorang perempuan maka jatuh cerai ke atasnya”, penceraian tersebut adalah tidak sah. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh Imam al-Syafi’i, 3/3 ).
Begitu juga tidak sah melakukan sebarang taklik talak terhadap ajnabi. Hal yang demikian telah disebutkan dalam al-Mulakkhas al-Fiqhi oleh Syeikh Soleh al-Fawzan beliau menyatakan bahawa: Tidak sah taklik talak melainkan daripada suami kepada isteri yang sah. Sekiranya dia mengatakan: Jika aku mengahwininya maka jatuh talak ke atasnya kemudian dia mengahwininya maka, tidak jatuh talak dalam keadaan tersebut kerana pada ketika dia melafazkan taklik tersebut, statusnya bukan suami kepada wanita tersebut. Beliau berdalilkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا ۖ فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah “mut’ah” (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.
(Surah al-Ahzab:49)
Ayat ini menunjukkan bahawa tidak jatuh talak ke atas ajnabi dan ini merupakan ijma’ para ulama. Begitu juga sekiranya dia mentaklikan talak tersebut dengan perkahwinan dan seumpamanya. (Lihat al-Mulakkhas al-Fiqhi, 2/396 )
Sebagai kesimpulannya kami katakan tidak berhak menceraikan perempuan yang belum dimilkinya. Ini kerana hak talak yang diberikan oleh syara’ hanya kepada lelaki yang mempunyai ikatan hubungan perkahwinan yang sah. Oleh itu, talak yang dilakukan terhadap wanita yang belum dimilikinya adalah tidak sah walaupun dia mentakliknya dengan perkahwinan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua’lam.