Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan  hadith yang menyatakan tiga perkara yang tidak boleh buat bergurau? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak, dan rujuk.”

Riwayat Abu Dawud (2194), al-Tirmidzi (1184) dan Ibnu Majah (2039)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan terdapat tiga perkara yang apabila dilakukan walaupun dengan niat bergurau ia tetap dikira dan dijatuhkan hukum iaitu nikah, talak dan rujuk. Kami memperincikan sebagaimana berikut :

Pertama: Nikah

Perkahwinan terjadi dengan hanya terdapatnya ijab dan qabul, walaupun salah seorang dari mereka bersenda gurau. Hal ini  berdasarkan kesepakatan empat mazhab fiqh yang utama.

Telah dinyatakan dalam Tuhafah al-Muhtaj oleh Ibn Hajar al-Haitami bahawa: Adalah sah perkahwinan yang dilakukan dengan ijab  walaupun dalam keadaan bergurau dan begitu juga dengan qabul. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 7/217)

Kedua: Talak

Talak seseorang ke atas isterinya dikira jatuh sekiranya ia dilakukan dalam keadaan dia berniat untuk menceraikan isterinya mahupun bergurau senda. Syeikh Ibn Uthaimin dalam kitabnya Syarh Mumti’ menyatakan: Terjadinya penceraian dapat berlaku dengan kesungguhan atau senda gurau. Perbezaannya terletak pada kesungguhan di mana terdapat niat  dalam kata-kata dan keputusan, sementara dalam senda gurau, hanya pada kata-kata tanpa keputusan yang jelas. (Lihat Syarh Mumti’ 10/461)

Ketiga: Rujuk

Begitu juga dengan rujuk, sekiranya suami merujuk istrinya walaupun dalam keadaan bergurau maka ia dikira menurut syara’. Al-Kasani dalam isu ini menyebutkan:

Bersungguh-sungguh bukanlah syarat bagi terjadinya rujuk. Oleh kerana itu rujuk tetap sah walaupun terjadi secara terpaksa, bersifat senda gurau, bermain-main, atau tersalah. Ini karena rujuk adalah pemeliharaan ikatan perkahwinan, ia tidak melibatkan perkahwinan yang baru. Justeru, tidak disyaratkan niat bersungguh-bersungguh dalam rujuk adalah lebih utama. (Lihat Bada’ al-Sana’, 3/187)

Kesimpulannya kami katakan di sini bahawa tiga perkara yang telah dinyatakan di atas adalah dikira hukumnya oleh syara’ walaupun ia dilakukan dalam keadaan bersenda gurau. Oleh yang demikian, diingatkan agar tidak bersenda gurau dalam melakukan perkara yang boleh membawa impak yang besar terhadap kehidupan kita.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahua’lam.

Leave a Reply