Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apabila saya membaca tentang akhlak salaf dan cara mereka berinteraksi, saya terkesan dan berkata pada diri sendiri bahawa dari saat itu, saya akan berubah. Namun, pelaksanaannya menjadi lebih buruk daripada yang sepatutnya. Saya khuatir apa yang saya baca akan menjadi saksi dan hujjah ke atas saya di akhirat kelak. Saya ingin bertanya bagaimana cara untuk mengamalkan akhlak yang baik ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةً لَّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
(Surah al-Ahzab: 21)
Abu al-Hasan al-Nadwi berkata:
- Jika anda seorang pemuda, maka teladan yang paling elok dan paling cantik bagimu adalah Nabi Muhammad SAW.
- Jika anda telah mencapai umur tua, maka, Baginda SAW adalah contoh anda.
- Jika anda fakir dan miskin, maka Baginda SAW adalah teladan dan contoh bagi anda.
- Jika anda kaya, maka Baginda SAW imam anda.
- Jika anda berangkat untuk berperang, maka Baginda SAW juga turut serta berperang.
- Jika kamu menginginkan perdamaian, maka Baginda SAW akan memberikan kedamaian sebelum kamu memintanya.
- Jika anda redha, maka Baginda SAW pun redha.
- Jika anda marah (tidak menerima sesuatu), maka Baginda SAW pun demikian halnya.
Baginda SAW telah mentarbiyah manusia yang terkenal dengan zaman Jahiliyah kepada suasana Islam dan mempunyai syakhsiyah Islamiyah yang unggul. Akhlak yang dibina oleh Rasulullah telah menukar watak sahabat dengan semua perilaku, perangai dan akhlak yang buruk kepada yang terunggul dan terbaik. Justeru, tidak hairanlah Rasulullah SAW telah mengkanunkan dengan kanun akhlak yang mencapai kepada tahap yang mulia dan peradaban yang tinggi.
Bagaimana Rasulullah SAW telah membetulkan semua akhlak yang buruk serta pincang kepada akhlak yang soleh, bahkan mempunyai makarim al-akhlaq. Benarlah sabda Nabi SAW:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”
Riwayat Ahmad (8952). Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat.
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini berakhlak dengan akhlak yang mulia merupakan kewajipan bagi setiap individu muslim. Kelebihan akhlak tidak dapat disembunyikan dalam Islam. Setiap individu Muslim bertanggungjawab untuk memperlihatkannya, kerana tindakan ini dipuji oleh Allah SWT, sebagaimana pujian-Nya kepada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:
وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ
Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.
(Surah al-Qalam:4)
Syeikh Tahir Ibn Asyur berkata: “Sebagaimana Allah SWT menjadikan rasul-Nya di atas akhlak yang agung, Dia juga menjadikan syariat-Nya supaya membawa manusia dengan akhlak yang agung dalam kemuncak ketaatan. Dengan ini, bertambah jelaslah makna tamakkun yang membawa kepada huruf isti’la’, yang menggambarkan ketinggian pekerti dan nilai akhlak yang agung, yang dimiliki oleh Baginda SAW sehingga ia juga tamakkun dalam menyampaikan dakwah agamanya.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 29/64)
Akhlak kebanyakannya diperoleh melalui pembelajaran dan latihan, dan hal ini perlu dizahirkan melalui perbuatan. Antara cara yang boleh memupuk akhlak yang mulia adalah sepertimana berikut:
- Sentiasa berdoa kepada Allah SWT dan bermohon kepada-Nya, kerana jiwa-jiwa ini adalah milik-Nya. Antara doa yang diajar oleh Baginda adalah sebagaimana yang diriwayat kan daripada ‘Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW berdoa:
اللَّهمَّ كما أحسنتَ خَلْقِي، فأَحْسِنْ خُلُقِي
Maksudnya: Ya Allah, sebagaimana Engkau telah memperindahkan rupaku maka indahkanlah juga akhlakku
Riwayat Ahmad (24437)
- Sentiasa bermujahadah dalam usaha untuk memperbaiki diri, iaitu dengan mengamalkan cita-cita, kesabaran, serta mendorong seseorang untuk mengubah dirinya ke arah yang lebih baik sehingga hal itu menjadi kebiasaannya. Ini bukan sekadar proses pencapaian, tetapi lebih kepada pemantapan, di mana seseorang perlu menilai dirinya sendiri untuk melihat kejayaan dalam melaksanakan usaha tersebut dan mewujudkan apa yang diperlukan darinya. Kemudian, usaha beterusan dalam melakukan pembaikan diri, dan tidak putus asa jika gagal sekali atau beberapa kali.
- Sentiasa bersahabat dengan orang-orang yang baik budi pekertinya, kerana akhlak mereka tersebar dan berpindah kepada yang bergaul dengan mereka.
- Sentiasa membaca sirah Rasulullah SAW, sirah orang-orang soleh yang terdahulu, dan mengingatkan diri dengan kisah-kisah mereka setiap masa.
- Sentiasa mengingatkan diri akan kebaikan akhlak dalam keutamaan dan kedudukan, yang merupakan salah satu sebab utama untuk memasuki syurga.
Imam al-Ghazali menyebutkan dalam kitabnya: Beberapa tanda kebaikan akhlak adalah menjadi seseorang yang banyak malunya, jarang menyakiti, banyak melakukan kebaikan, jujur dalam perkataan, sedikit kata-katanya, banyak perbuatannya, dan jarang melakukan kesalahan. Selain itu dia juga jarang memiliki keingintahuan yang berlebih-lebihan, baik budi pekerti, ramah , sabar, bersyukur, merestui, penyabar, penyayang, tidak suka mencela, mengumpat, mengadu domba, atau menyebut buruk perihal orang lain, tidak terburu-buru, tidak memiliki sifat benci, tidak iri hati, ceria, dan lembut hati, serta mencintai, dan membenci kerana Allah. Inilah yang disebut sebagai kebaikan akhlak. (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/70)
Ibn Qayyim dalam kitabnya Madarij al-Salikin menyatakan: Kebaikan akhlak itu terdiri di atas empat asas yang tidak mungkin terwujud keberadaannya tanpa keempat-empatnya iaitu: kesabaran, kesucian, keberanian, dan keadilan. (Lihat Madarij al-Salikin,2/294)
Justeru kami katakan sebagai seorang muslim hendak mencontohi akhlak Rasulullah SAW dan para salaf al-Soleh kerana mereka telah menunjukkan contoh teladan yang terbaik kepada ummah. Berakhlak dengan akhlak yang baik merupakan satu tanda kesempurnaan iman seseorang itu dan menjadi tanda kesetiaan kepada ajaran agama Islam yang suci. Ini sebagaimana yang telah disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أكمَلُ المُؤمِنِينَ إيمانًا أحسَنُهم خُلُقًا
Maksudnya: Orang mukmin yang paling sempurna keimananya adalah yang paling baik akhlaknya.
Riwayat Abu Dawud(4682) dan Tirmizi(1162)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahua’lam