Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bilakah dikira habis waktu solat Isyak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

Surah al-Nisa (103)

Daripada ayat ini Imam Abu Jaafar al-Tahawi berkata terdapat tiga tafsiran ulama tentang ayat ini; bahawa solat itu ialah kefarduan yang difardukan, bahawa solat itu fardu yang diwajibkan dan bahawa solat itu ditentukan masa perlaksanaannya. Beliau berkata  tafsiran-tafsiran itu dekat antara satu sama lain. Ini kerana suatu yang fardu itu adalah kewajiban, dan kewajiban itu ditunaikan pada selepas masuk waktu yang telah ditentukan. (Lihat Jami’ al-Bayan, 9/170)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam muktamad dalam mazhab Syafie, tamat waktu isyak ialah apabila keluar fajar sadiq. Adapun waktu ikhtiyar (terbaik; terpilih) untuk menunaikan solat isyak ialah sehingga sepertiga malam, dalam pendapat lain, sehingga pertengahan malam. Kemudian waktu jawaz (harus) berlangsung sehingga sebelum waktu subuh. Ada juga sebahagian ulama yang berkata makruh melewatkan solat Isyak melepasi separuh malam kerana keluar daripada khilaf. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/167).

Justeru, kami katakan walaupun masalah ini khilaf, kami berpendapat solat Isyak boleh dilakukan selama mana sebelum Subuh. Hal ini berdasarkan himpunan dan kefahaman kami berkenaan dengan nas-nas. Kami juga berpendapat ia dilakukan pada awal waktu adalah lebih baik jika terdapatnya jemaah yang ramai seperti di masjid atau di surau. Dan inilah yang menjadi ghalib serta kebiasaan Rasulullah SAW dalam menunaikan solat Isyak berjemaah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen. Kami akhiri dengan doa:

 رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua’lam.

Leave a Reply