Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum berubat dengan bantuan makhluk halus atau pendamping?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan yukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ الْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآتِهِمَا ۗ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup).”

( Surah Al-‘Araf : 27)

Ayat di atas adalah merupakan peringatan buat seluruh umat manusia agar jangan tertipu dengan tipu daya syaitan. Mereka telah menjadikan perbuatan maksiat itu indah di mata kamu semua, sebagaimana mereka telah lakukan terhadap ibubapa kamu iaitu Nabi Adam dan Hawa’. Disebabkan oleh perbuatan maksiat tersebut, keduanya telah dikeluarkan dari syurga serta dilucutkan dari keduanya pakaian yang mana Allah SWT telah tutup (aurat dan aib) mereka dengannya, sehingga tersingkaplah aurat mereka. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 153)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan merawat menggunakan pendamping atau khidmat jin adalah haram dan berdosa. Hal ini jelas disebutkan dalam al-Quran, bahawa Allah SWT telah  berfirman:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ الْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

Maksudnya: `Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.

(Surah al-Jin: 6)

Merawat menggunakan makhluk halus atau pendamping ini disebut sebagai an-Nushrah. Nushrah adalah mengubati masalah sihir dengan tukang sihir juga dan hukumnya adalah haram. (Lihat Pertua Menelusuri Ilmu Pengubatan Islam, hlm. 44)

Antara cara merawat adalah dengan banyakkan berdoa kepada Allah SWT. Inilah yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita seperti:

Begitu juga terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، كَانَ إِذَا أَتَى مَرِيضًا أَوْ أُتِيَ بِهِ، قَالَ: أَذْهِبِ البَأْسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila datang kepada orang yang sakit – atau syak perawi: ‘أُتِيَ بِهِ’ (dibawa datang kepadanya orang yang sakit), Baginda SAW mengucapkan: “أَذْهِبِ البَأْسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا (Hilangkanlah sakitnya, wahai Tuhan manusia, sembuhkanlah dan Engkau Yang Menyembuhkan, tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan daripada-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan (sebarang) rasa sakit.

Riwayat al-Bukhari (5675)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini dan melindungi kita daripada godaan dan gangguan dari syaitan dan keturunannya. Amin. Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ غَضَبِهِ وَعِقَابِهِ وَشَرِّ عِبَادِهِ وَمِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَنْ يَحْضُرُونِ

Maksudnya: Kami berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna daripada murka dan seksa-Nya, dan dari kejahatan hamba-hamba-Nya dan daripada godaaan syaitan,  serta  daripada kedatangan mereka kepada kami.

Wallahua`lam.

Leave a Reply