Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan maksud ayat 2 Surah Quraisy?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِۦلَـٰفِهِمْ رِحْلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيْفِ

Maksudnya: “Melakukan perjalanan pada musim sejuk dan panas.”

(Surah Quraisy: 2)

Menjawab persoalan di atas, ayat ini menerangkan bahawa orang Quraisy yang melakukan  perjalanan pada musim sejuk dan panas. Musim sejuk dalam takwim syamsi berlaku selama 89 hari dan musim panas berlaku selama 93 hari. Perintis pelayaran dua musim ini ialah Hasyim bin Abdul Manaf. Antara sebab pelayaran adalah apabila sesuatu rumah tidak mempunyai makanan, maka ketua keluarga membawa semua ahli keluarganya ke satu tempat dan membiarkan begitu sehingga semua mati kelaparan. Amalan tersebut dinamakan ‘Itifar. Perkara ini berlaku kepada sebuah keluarga Bani Makhzum dan mereka mahu melakukan ’Itifar. Kisah ini sampai kepada Hasyim bin Abdul Manaf dan beliau telah memberi ucapan yang masyhur dengan berkata: Sesungguhnya kamu telah lakukan perkara yang merendahkan maruah sedangkan bangsa Arab ini mulia dan kamu ialah penduduk tanah yang Allah haramkannya. Seluruh manusia ialah pengikut kamu. Kemudian, Hasyim bin Abdul Manaf serta semua golongan bapa melakukan dua pelayaran perniagaan. Keuntungan dibahagikan kepada keluarga dan orang fakir sehinggalah yang fakir menjadi orang yang berharta. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/558)

Dalam surah Quraisy ini, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia telah memberi kemudahan kepada bangsa Quraisy dengan dua pelayaran iaitu pelayaran musim sejuk ke Yaman dan pelayaran musim panas ke Syam. Kandungan surah ini adalah pernyataan tentang nikmat Allah yang besar kepada penduduk Makkah. Allah menyatukan pandangan mereka serta dianugerahkan buat mereka agar membuat urusan perniagaan yang bebas ke Yaman dalam musim sejuk dan ke Syam dalam musim panas untuk mendapatkan kekayaan dan kesenangan hidup. Dua pelayaran itu amat penting kepada mereka kerana ia adalah punca pendapatan mereka kerana tanpa perniagaan tersebut mereka tidak mampu hidup di Makkah. Bangsa Arab menyatakan bahawa Quraisy ialah penduduk baitullah. Segala kemuliaan untuk bangsa Quraisy ini diberikan oleh Allah adalah disebabkan bait al-Haram. Maka selayaknyalah mereka perlu memperakui nikmat ini dengan mentauhidkan Allah serta beribadah.

Antara maksud kalimah Ilaf ialah melazimi sesuatu. Ia mempunyai hubungan dengan kalimah (فَلْيَعْبُدُوا۟),  di mana Allah SWT mengarahkan mereka untuk beribadat kepadanya seperti kelaziman mereka melakukan dua pelayaran. Ia juga memberi maksud sesungguhnya nikmat Allah kepada mereka terlalu banyak dan tidak dapat dikira. Jika mereka beribadah kepada Allah bukan dengan sebab segala nikmat yang dikurniakan, maka beribadahlah kepada Allah hanya kerana Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/663)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply