Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami tafsiran ayat 65 dan 66 daripada Surah al-Anfal?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ حَرِّضِ ٱلْمُؤْمِنِينَ عَلَى ٱلْقِتَالِ ۚ إِن يَكُن مِّنكُمْ عِشْرُونَ صَـٰبِرُونَ يَغْلِبُوا۟ مِا۟ئَتَيْنِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّا۟ئَةٌۭ يَغْلِبُوٓا۟ أَلْفًۭا مِّنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌۭ لَّا يَفْقَهُونَ ٦٥ ٱلْـَٔـٰنَ خَفَّفَ ٱللَّهُ عَنكُمْ وَعَلِمَ أَنَّ فِيكُمْ ضَعْفًۭا ۚ فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّا۟ئَةٌۭ صَابِرَةٌۭ يَغْلِبُوا۟ مِا۟ئَتَيْنِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُمْ أَلْفٌۭ يَغْلِبُوٓا۟ أَلْفَيْنِ بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Nabi! Kobarkanlah semangat orang yang beriman supaya bangkit berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar dalam kalangan kamu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus musuh. Jika ada seratus pula orang yang sabar dalam kalangan kamu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu orang kafir; hal yang demikian itu adalah kerana orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti. Sekarang Allah telah memberi keringanan kepada kamu dan mengetahui kelemahan yang ada pada kamu. Oleh itu, jika terdapat dalam kalangan kamu seratus pejuang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus musuh; dan jika terdapat pula dalam kalangan kamu seribu pejuang yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu musuh dengan izin Allah. Dan ingatlah, Allah bersama golongan yang sabar.”
(Surah al-Anfal: 65-66)
Sebab Nuzul ayat 66 surah al-Anfal
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:
لَمَّا نَزَلَتْ: {إِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ} شَقَّ ذَلِكَ عَلَى المُسْلِمِينَ، حِينَ فُرِضَ عَلَيْهِمْ أَنْ لاَ يَفِرَّ وَاحِدٌ مِنْ عَشَرَةٍ، فَجَاءَ التَّخْفِيفُ “، فَقَالَ: (الآنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنْكُمْ وَعَلِمَ أَنَّ فِيكُمْ ضُعْفًا، فَإِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ مِائَةٌ صَابِرَةٌ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ) قَالَ: «فَلَمَّا خَفَّفَ اللَّهُ عَنْهُمْ مِنَ العِدَّةِ نَقَصَ مِنَ الصَّبْرِ بِقَدْرِ مَا خُفِّفَ عَنْهُمْ»
Maksudnya: “Ketika turun ayat , (Firman Allah SWT): “إٍنْ يَكُنْ مِنْكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ“ (Maksudnya: “Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (daripada pihak musuh yang kafir itu.”) [Surah al-Anfal: 65] Hal itu sangat berat bagi kaum muslimin ketika diwajibkan ke atas mereka supaya seseorang itu tidak lari daripada menghadapi sepuluh orang musuh. Kemudian datanglah keringanan, Allah berfirman: “الآنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنْكُمْ وَعَلِمَ أَنَّ فِيكُمْ ضُعْفًا، فَإِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ مِائَةٌ صَابِرَةٌ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ” (Maksudnya: “Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Dia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan. Oleh itu, jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang”)[Surah al-Anfal: 66] Dia berkata: “Ketika Allah memberi keringanan jumlah kepada mereka, maka berkuranglah kesabaran mereka bertepatan dengan keringanan yang diberikan.”
Riwayat al-Bukhari (4653)
Berkenaan tafsiran ayat ini, setelah Allah SWT mengingatkan Nabi Muhammad SAW tentang nikmat yang dikurniakan kepada Baginda berupa dukungan dan bantuan daripada kalangan Muhajirin dan Ansar serta kesatuan mereka dalam membantu Baginda. Kemudian, kumpulan ayat ini pula dimulakan dengan penegasan daripada Allah SWT kepada Baginda sebagaimana firman-Nya, “Cukuplah Allah bagi engkau dan juga bagi pengikut-pengikut engkau dalam kalangan orang beriman.” Ini merupakan janji daripada Allah SWT kepada para hamba-Nya yang beriman dan mengikuti rasul-Nya, di mana mereka dikurniakan kecukupan, kompetensi dan kemenangan ke atas pihak musuh. Dalam bahasa mudahnya, sekiranya seseorang itu mendatangkan sebabnya iaitu iman dan ittiba‘ (mengikuti Rasulullah), maka Allah pasti akan cukupkan apa yang dia perlukan daripada urusan agama dan dunia. Demikianlah juga, semakin menghilangnya suatu jaminan dan kecukupan yang dikurniakan, bilamana semakin berkurangnya pelaksanaan sebab dan syarat-syaratnya.
Walau bagaimanapun, dengan terjaminnya pertolongan daripada Allah dan bantuan daripada orang beriman itu, tidak bererti jalan melalui peperangan mesti ditinggalkan. Dalam erti kata lain, tidak boleh berserah begitu sahaja tanpa didahulukan dengan sebarang usaha. Oleh itu, Allah memerintahkan Baginda untuk memberi dorongan dan mengobarkan semangat orang-orang beriman agar bangkit berperang, demi mencegah permusuhan daripada orang-orang kafir. Seterusnya, dilanjutkan lagi dengan satu perbandingan iaitu sekiranya terdapat dua puluh orang yang sabar daripada kalangan orang beriman, pasti mereka akan dapat mengalahkan – disebabkan oleh kesan daripada keimanan, kesabaran, dan kefahaman mereka – dua ratus orang daripada kalangan orang kafir yang tidak memiliki tiga sifat ini.
Hal ini merupakan janji dan berita gembira daripada Allah SWT kepada orang-orang beriman; jika mereka bersabar, maka mereka akan dapat mengalahkan pasukan orang kafir yang jumlahnya sepuluh kali ganda daripada jumlah mereka dengan pertolongan dan bantuan daripada-Nya. Tambahan lagi, menurut Wahbah al-Zuhaili, kata kunci kemenangan Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslimin ialah sabar dan usaha gigih, di samping matlamat peperangan yang pastinya adalah kerana Allah dan keredhaan-Nya. Selain itu, mereka juga ingin meraih salah satu daripada dua kebaikan yang terbentang di hadapan mereka iaitu sama ada mendapat kemenangan dan harta ghanimah di dunia, atau mati syahid dan kebahagiaan di akhirat. Berbeza keadaannya dengan orang kafir, musyrikin, Yahudi dan Nasrani yang berperang atas matlamat untuk mendapatkan habuan material dan kuasa semata-mata serta menindas orang lain.
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, ketika turunnya ayat (إٍنْ يَكُنْ مِنْكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ), maka perkara tersebut terasa berat bagi umat Islam, di mana mereka diwajibkan untuk berperang dalam keadaan seorang Muslim perlu berhadapan dengan sepuluh orang kafir. Lalu turunlah ayat yang memberi keringanan ke atas mereka sebagaimana yang terdapat dalam ayat selanjutnya. Berhubung dengan pengurangan ini Ibn Abbas menegaskan: “Ketika jumlahnya dikurangi, pada saat yang sama kesabaran dan keteguhan kaum Muslimin menghadapi musuh juga berkurang sesuai dengan keringanan yang diberikan kepada mereka.” Sekalipun begitu, dalam kedua kondisi tersebut, kaum Muslimin tetap dituntut – meskipun bilangan musuh telah dikurangkan – untuk tetap menghadapi musuh yang lebih banyak daripada mereka, kerana yang menjadi perkiraan utama ialah kesabaran, disiplin, tekad, kemantapan iman dan ketaatan terhadap perintah Allah SWT. Rangkaian ayat ini diakhiri dengan penegasan sekali lagi daripada Allah SWT bahawa Dia bersama orang-orang yang sabar dengan bantuan dan pertolongan-Nya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/192-193)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
Riwayat al-Bukhari (6393)
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2965)