Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana penyelesaian yang terbaik dalam mengambil tawanan perang badar?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
مَا كَانَ لِنَبِىٍّ أَن يَكُونَ لَهُۥٓ أَسْرَىٰ حَتَّىٰ يُثْخِنَ فِى ٱلْأَرْضِ ۚ تُرِيدُونَ عَرَضَ ٱلدُّنْيَا وَٱللَّهُ يُرِيدُ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌۭ ٦٧ لَّوْلَا كِتَـٰبٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ سَبَقَ لَمَسَّكُمْ فِيمَآ أَخَذْتُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ
Maksudnya: “Tidaklah wajar bagi seorang nabi mempunyai tawanan sebelum dia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta kekayaan dunia melalui tebusan tawanan, sedangkan Allah menghendaki pahala akhirat untuk kamu. Ingatlah, Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Sekiranya tidak terdapat ketetapan yang terdahulu daripada Allah mengenai harta rampasan perang dan tebusan tawanan, tentulah kamu ditimpa azab yang besar akibat tebusan yang kamu ambil itu.”
(Surah al-Anfal: 67-68)
Ayat ini dimulakan dengan teguran Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan orang yang beriman pada hari peperangan Badar. Menurut al-Maraghi, bukanlah perbuatan seorang Nabi dan bukan juga sunnah-Nya dalam peperangan untuk mempunyai tawanan, sehingga urusan Baginda menjadi ragu-ragu sama ada melumpuhkan mereka atau mengambil tebusan daripada mereka, kecuali setelah Baginda berhasil melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Justeru menurut Wahbah al-Zuhaili, pembunuhan terhadap orang kafir dalam peperangan yang berlaku pada permulaan awal agama Islam berkembang adalah bertujuan untuk menampakkan kemuliaan Islam dan kaum Muslimin. Selain itu juga, ia adalah untuk menimbulkan rasa gentar dan takut kepada musuh-musuh Islam sehingga tidak ada seorang pun daripada kalangan mereka yang dibebaskan berani menganggu untuk melemahkan Islam dan umatnya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/416)
Berhubung dengan tawanan perang Badar, keputusan yang diambil oleh Rasulullah SAW untuk menerima cadangan Abu Bakar R.A bagi membebaskan tawanan perang dengan tebusan adalah satu kekhilafan dan mendapat teguran daripada Allah SWT kepada kaum Muslimin sepertimana yang dinyatakan dalam asbab nuzul ayat 67 surah ini. Allah SWT telah mencela mereka lantaran memilih untuk mengambil tebusan. Dalam ayat seterusnya dinyatakan, kalaulah sekiranya tidak ada ketetapan yang terdahulu daripada Allah SWT yakni qadha’ dan qadar-Nya, bahawa Dia telah menghalalkan harta rampasan perang untuk mereka dan mengangkat azab-Nya daripada mereka, maka pasti mereka akan ditimpa dengan azab yang besar akibat tebusan yang diambil itu. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/199)
Isu Tawanan Perang Badar dan Ijtihad Rasulullah SAW
Polemik berhubung tawanan Perang Badar dapat difahami dengan mudah apabila umat Islam berpegang dengan pendapat jumhur ulama usul fiqh seperti Ibn al-Hajib, al-Amidi, dan lain-lain yang berpendapat bahawa dari segi rasionalnya adalah harus bagi Rasulullah SAW berijtihad di dalam perkara yang tiada nas. Pendapat ini juga dipersetujui oleh al-Qadi ‘Abd al-Jabbar daripada aliran Muktazilah.
Jumhur ulama mengatakan bahawa ijtihad Rasulullah SAW adalah dalil hukum yang diyakini, maka ia tidak membawa kepada kesalahan. Sekiranya berlaku kesalahan pasti ia segera ditegur oleh Allah SWT sebagaimana teguran-Nya terhadap tebusan tawanan perang Badar.
Rasulullah SAW berijtihad berdasarkan perbincangan dalam mesyuarat khas bersama para sahabat berhubung dengan isu tawanan Perang Badar. Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar menjelaskan bahawa mesyuarat khas diadakan bagi memutuskan untung nasib tawanan perang ini. Melalui pandangan para sahabat dalam mesyuarat tersebut, Nabi SAW berijtihad dengan mengambil pandangan yang dikemukakan oleh Abu Bakr al-Siddiq. Walau bagaimanapun, ijtihad Nabi SAW telah mendapat teguran langsung daripada Allah SWT sebagaimana yang telah dinyatakan dalam ayat 67-68 Surah al-Anfal sebelum ini. Teguran itu juga menunjukkan bahawa ijtihad itu ada kalanya betul dan tepat seperti yang dikehendaki-Nya, dan ada kalanya boleh tersilap.
Namun, hakikatnya, Allah SWT tidak akan sesekali membiarkan Nabi-Nya berkeadaan salah dalam membuat keputusan yang melibatkan suatu hukum. Maka malaikat Jibril A.S akan segera diutus bagi membetulkan kesalahan tersebut. Dalam surah Ali ‘Imran, ayat 31, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad, “Jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku pasti Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu.” Ayat ini membuktikan bahawa Allah SWT tidak membiarkan Nabi-Nya dalam keadaan salah, kerana bagaimana mungkin Nabi SAW boleh menjadi ikutan umatnya jika Baginda berada dalam keadaan sedemikian. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/200)
Kesimpulan
Polemik tawanan Perang Badar yang berlaku dalam kalangan sahabat dan berakhir dengan teguran daripada Allah mengenai keputusan membebaskan tawanan perangan dengan tebusan menampakkan pengaruh kebendaan dan keduniaan sedangkan ketika itu Islam masih lemah dan musuh-musuh Islam perlu dimusnahkan. Mesejnya ialah dalam perjuangan Islam, janganlah kita mudah tertarik kepada harta kekayaan dunia, kerana dunia ini umpama air lautan, semakin ditelan semakin haus.
Umat Islam diwajibkan menarik hati musuh Islam supaya beriman dan mengingatkan mereka tentang akibat pengkhianatan yang akan menimpa jika mereka masih tetap kufur dan melakukan kezaliman serta sikap permusuhan dengan umat Islam.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”