Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah doa yang buruk juga dimakbulkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَوْ يُعَجِّلُ ٱللَّهُ لِلنَّاسِ ٱلشَّرَّ ٱسْتِعْجَالَهُم بِٱلْخَيْرِ لَقُضِىَ إِلَيْهِمْ أَجَلُهُمْ ۖ فَنَذَرُ ٱلَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَآءَنَا فِى طُغْيَـٰنِهِمْ يَعْمَهُونَ ١١ وَإِذَا مَسَّ ٱلْإِنسَـٰنَ ٱلضُّرُّ دَعَانَا لِجَنۢبِهِۦٓ أَوْ قَاعِدًا أَوْ قَآئِمًۭا فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُۥ مَرَّ كَأَن لَّمْ يَدْعُنَآ إِلَىٰ ضُرٍّۢ مَّسَّهُۥ ۚ كَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِلْمُسْرِفِينَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan sekiranya Allah SWT menyegerakan azab ke atas manusia sepertimana permintaan mereka supaya disegerakan kebaikan untuk mereka, pasti mereka akan binasa. Lalu, Kami membiarkan orang yang tidak beriman dengan hari kebangkitan meraba-meraba dalam kebiadapan mereka. Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, maka dia akan berdoa kepada Kami sama ada dalam  keadaan mengiring, duduk atau berdiri. Namun apabila Kami hilangkan kesusahannya, dia pergi begitu sahaja seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami ketika ditimpa kesusahan. Begitulah orang yang melampaui batas terpedaya dengan sikap mereka dan apa yang mereka lakukan.”

(Surah Yunus: 11- 12)

Allah SWT mengingatkan manusia supaya mereka berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata yang buruk kerana sekiranya Allah SWT segera memakbulkan kata-kata tersebut sepertimana manusia yang sentiasa bersegera inginkan kebaikan, nescaya mereka akan menyesal kerana hidup mereka akan musnah begitu sahaja disebabkan permintaan mereka tersebut sebagaimana seseorang yang memarahi anaknya dengan berkata: “Semoga Allah SWT tidak memberkati kamu dan melaknat kamu,” sekiranya Allah SWT memakbulkannya pasti si ayah akan menyesal dengan kerosakan yang dilakukannya. Namun, kepada orang kafir yang mencabar Allah SWT agar mereka segera diazab walhal mereka tidak mempercayai Allah SWT, Allah SWT boleh sahaja memakbulkan-Nya dengan segera namun Allah SWT hanya membiarkan mereka dalam kebingungan dan tenggelam di dalam kesesatan mereka. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 15/37)

Adakah Doa yang Buruk akan Dimakbulkan?

Sesetengah orang apabila berada di dalam keadaan marah seringkali mengungkapkan kata-kata yang tidak baik terutamanya kepada anak-anak mereka. Perkataan bodoh, baghal, gila dan sebagainya ibarat doa yang keluar daripada mulut ayah dan ibu yang dibimbangi akan menjadi doa yang tidak baik ke atas anak-anak. Namun, kesukaran menahan sabar ketika marah menjadikan ia diluahkan tanpa sedar oleh ayah dan ibu. Persoalannya, adakah kata-kata atau doa tersebut dimakbulkan sekiranya ibu dan ayah mengungkapkan perkara tersebut terhadap anak-anak mereka? Di antara rahmat Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, Allah SWT tidak akan memperkenankan doa seseorang yang mendoakan keburukan ke atas dirinya, hartanya atau anak-anaknya ketika dirinya berada di dalam keadaan marah dan tertekan kerana Allah SWT Maha Mengetahui bahawa hamba-Nya tidak mempunyai niat untuk mendoakan perkara tersebut. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Allah SWT Maha Penyantun kepada hamba-Nya, penyayang dan kasih kepada mereka, oleh itu Dia tidak menerima doa keburukan yang mereka ucapkan ke atas diri mereka, harta dan anak-anak mereka yang mereka ucapkan ketika marah.”

Rasulullah SAW juga telah melarang umatnya daripada berdoa untuk keburukan, sama ada terhadap diri sendiri atau ahli keluarga, Daripada Jabir R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَوْلَادِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَمْوَالِكُمْ، لَا تُوَافِقُوا مِنَ اللهِ سَاعَةً يُسْأَلُ فِيهَا عَطَاءٌ، فَيَسْتَجِيبُ لَكُمْ

Maksudnya: “Janganlah sekali-kali kamu mendoakan perkara yang tidak baik ke atas diri kamu, anak-anak kamu, dan harta benda kamu. Janganlah kamu mengucapkannya bersamaan dengan satu waktu yang mana apabila diminta sesuatu, maka Allah SWT akan memperkenankannya.”

Riwayat Muslim (3009)

Justeru, kita seharusnya menjauhkan diri daripada mendoakan perkara atau sesuatu yang buruk di dalam doa-doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT. Begitu juga kita harus menjaga lisan kita daripada mengungkapkan perkara-perkara yang buruk terutamanya ke atas diri anak-anak agar mereka terpelihara daripada kehinaan dan kemusnahan supaya kita tidak menyesal kelak. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/343-344)

Kesimpulan

Kita perlulah berwaspada dan berhati-hati dalam setiap perkataan yang dilafazkan agar ia tidak memudaratkan diri dan keluarga kita. Kita mesti bersabar dan melakukan perkara-perkara yang dianjurkan syarak untuk meredakan kemarahan serta menenangkan jiwa yang kusut agar kita terpelihara daripada gangguan-gangguan syaitan yang sentiasa berusaha untuk melemahkan iman kita.

Marilah sama-sama kita menekuni ayat al-Quran di mana Allah SWT sentiasa mustajabkan doa hamba-Nya. Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Surah Ghafir (60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja me-merintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

Leave a Reply