Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan tafsir ayat 3 Surah al-’Adiyat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَٱلْمُغِيرَٰتِ صُبْحًا 

Maksudnya: “Dan kuda yang menyerang pada waktu subuh.”

(Surah al-’Adiyat: 3)

Menjawab persoalan di atas, dalam tafsiran ayat ini, Allah SWT menggambarkan keadaan kuda-kuda ini pada satu masa yang khusus iaitu pada waktu subuh. Pada waktu ini, kuda-kuda ini digunakan oleh para mujahidin untuk menyerang pihak musuh saat mereka berada dalam keadaan lalai dan tidak bersedia. Sejarah Islam menunjukkan bahawa banyak peperangan berlaku pada waktu subuh dan disebabkan itu Islam memperoleh kemenangan.  Ini juga merupakan satu strategi peperangan yang digambarkan oleh al-Quran, kerana pada waktu malam para tentera berada dalam kegelapan dan tidak dapat melihat apa-apa. Pada waktu siang pula, golongan musuh berada dalam keadaan bersedia untuk berperang dan serangan balas. Maka waktu yang terbaik adalah pada waktu subuh.

Pergerakan pantas kuda-kuda itu menghasilkan debu-debu yang berterbangan, lalu ia menuju dengan pantas ke kawasan musuh sehingga berada di pertengahan kawasan musuh; memporak-perandakan dan menghancurkan mereka. Ini adalah satu gambaran yang agung dan juga menggerunkan dalam masa yang sama. Ia adalah agung buat pihak yang menyerang dan menggerunkan bagi pihak musuh. Fenomena ini menunjukkan betapa hebat ciptaan Allah pada seekor kuda. Kekuatan dan ketangkasannya menjadi satu kemegahan buat pemiliknya. Justeru, manusia berlumba-lumba untuk memiliki kuda yang hebat untuk dijadikan sebagai satu aset buat dirinya. Al-Zuhaili mengatakan ayat-ayat ini menunjukkan kepada fadilat amalan memelihara kuda dengan tujuan melatihnya untuk berjihad pada jalan Allah dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk dan berbangga.  Namun mereka yang mempunyai sifat kufur nikmat dan cintakan dunia yang melampau akan tenggelam dalam kenikmatan ini. Mereka sentiasa berusaha untuk memiliki kuda-kuda yang hebat tanpa ada sebarang niat untuk mempersediakan kuda tersebut untuk berperang di jalan Allah, walhal Allah SWT telah menjadikan kuda-kuda tersebut mempunyai kekuatan dan ketangkasan yang boleh membantu golongan mujahidin untuk memperoleh kemenangan. Golongan ini enggan mengiktiraf pemberian Allah kepada mereka sebagai satu kurniaan daripada-Nya lalu mereka enggan mensyukuri-Nya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/613-614)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply