Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadith bahawa Allah menjanjikan Khadijah dengan syurga?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Benar sekali. Daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata: 

مَا غِرْتُ عَلَى امْرَأَةٍ مَا غِرْتُ عَلَى خَدِيجَةَ، وَلَقَدْ أَمَرَهُ رَبُّهُ أَنْ يُبَشِّرَهَا بِبَيْتٍ فِي الجَنَّةِ.

“Aku tidak pernah cemburu kepada seorang perempuan  pun seperti kecemburuanku terhadap Khadijah R.Anha. Sesungguhnya Tuhan Baginda (Nabi SAW) telah memerintahkan Baginda untuk menyampaikan khabar gembira kepada beliau (Khadijah) tentang sebuah mahligai di syurga (yang akan diperolehinya).”

Riwayat al-Bukhari (7484)

Suka kami nyatakan seringkas mungkin, biografi Ummul Mukminin Khadijah sebagai tambahan:

Beliau ialah Ummul Mukminin Ummu al-Qasim Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza bin Qusai bin Kilab al-Qurasyiyyah al-Asadiyyah. Beliau merupakan ibu kepada anak-anak Rasulullah SAW, orang pertama beriman dengannya dan yang membenarkannya sebelum sesiapapun. Beliau juga ialah orang yang menenangkan Baginda ketika dalam ketakutan dan membawanya berjumpa sepupunya iaitu Waraqah. Di samping itu, kelebihan dan kebaikannya juga sangat banyak. Selain itu, beliau juga adalah salah seorang wanita yang paling sempurna, berakal (bijak), mulia (bermaruah), beragama, suci, pemurah, dan termasuk dalam kalangan  ahli syurga. Bahkan Nabi SAW selalu memujinya, menyebut kelebihan dan kebaikannya berbanding Ummul Mukminin yang lain serta berlebihan dalam memuliakannya. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/109-110). Hal itu sehinggakan Aisyah R.Anha pernah berkata:

مَا غِرْتُ عَلَى امْرَأَةٍ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مَا غِرْتُ عَلَى خَدِيجَةَ، هَلَكَتْ قَبْلَ أَنْ يَتَزَوَّجَنِي، لِمَا كُنْتُ أَسْمَعُهُ يَذْكُرُهَا، وَأَمَرَهُ اللَّهُ أَنْ يُبَشِّرَهَا بِبَيْتٍ مِنْ قَصَبٍ، وَإِنْ كَانَ لَيَذْبَحُ الشَّاةَ فَيُهْدِي فِي خَلاَئِلِهَا مِنْهَا مَا يَسَعُهُنَّ

Maksudnya:Aku tidak pernah cemburu terhadap mana-mana wanita(isteri-isteri) Nabi SAW, sebagaimana kecemburuanku terhadap Khadijah. Dia telah meninggal dunia sebelum Baginda mengahwiniku. (Kecemburuanku) kerana aku biasa mendengar Baginda menyebut (nama)nya. Allah memerintahkan Baginda untuk memberitahu kepadanya (Khadijah) khabar gembira berupa rumah yang dibina daripada permata. Sekiranya Baginda menyembelih kambing, Baginda akan menghadiahkannya kepada sahabat-sahabatnya (yakni sahabat Khadijah) hinggalah kesemua mereka mendapatkannya.

Riwayat al-Bukhari (3816) dan Muslim (2435)

Ibunya bernama Fatimah binti Za’idah al-‘Amiriyyah. Khadijah pada awalnya berkahwin dengan Abu Halah bin Zurarah al-Tamimi, kemudian beliau berkahwin pula selepasnya dengan ‘Atiq bin ‘Abid bin Abdullah bin Umar bin Makhzum, kemudian selepasnya beliau berkahwin pula dengan Nabi SAW. Beliau berkahwin dengan Nabi SAW ketika Baginda berumur 25 tahun, manakala umur Khadijah pula ketika itu adalah 15 tahun lebih tua daripada Baginda SAW. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/111). 

Peristiwa beliau membawa Nabi SAW bertemu sepupunya, Waraqah bin Naufal ada direkodkan oleh Imam al-Bukhari dalam dalam Sahih al-Bukhari. Diceritakan bahawa setelah turunnya wahyu yang pertama iaitu Surah al-‘Alaq ayat 1-3, Rasulullah SAW kembali kepada keluarganya membawa wahyu itu dalam keadaan hatinya berdebar-debar. Baginda SAW lalu masuk menemui Khadijah binti Khuwailid R.Anha dan bersabda: “Selimutkan aku, selimutkan aku.” Maka, mereka menyelimutkannya sehingga hilang rasa takut Baginda. Rasulullah SAW menceritakan peristiwa yang berlaku kepada Khadijah R.Anha dan berkata: “Sesungguhnya aku benar-benar bimbangkan diriku.” Khadijah R.Anha berkata: “Demi Allah, sampai bila pun Allah tidak akan menghinamu. Sesungguhnya engkau ialah orang yang selalu menyambung silaturrahim, menanggung beban orang-orang susah, mengusahakan sesuatu untuk orang yang tiada perusahaan, melayani tetamu dan membantu orang yang ditimpa bencana alam.” 

Khadijah R.Anha pun membawa Nabi SAW bertemu dengan Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza iaitu sepupu Khadijah. Beliau menganut agama Nasrani di masa Jahiliyyah, dan telah menulis kitab dalam bahasa Ibrani, dan beliau menulis kitab Injil dalam bahasa Ibrani dengan izin Allah. Saat itu, Waraqah sudah tua dan matanya buta. Khadijah R.Anha berkata kepadanya: “Wahai sepupuku, dengarlah cerita daripada anak saudaramu ini.” Maka Waraqah berkata kepada Baginda SAW: “Wahai anak saudaraku, apakah yang engkau lihat?” Maka Rasulullah SAW menceritakan apa yang dialaminya. Lalu Waraqah berkata kepadanya: “Ini ialah Namus (Jibril A.S) yang pernah diturunkan oleh Allah SWT kepada Musa. Aduhai diriku! Alangkah baik jika ketika dirimu diutuskan sebagai Rasul aku masih muda belia. Aduhai! Seandainya aku masih hidup saat kaummu mengusirmu.” Rasulullah SAW bertanya: “Adakah mereka pasti akan mengusir aku?” Waraqah menjawab: “Ya, kerana tiada seorang pun yang datang membawa wahyu seperti yang engkau bawa ini melainkan dia dimusuhi. Andaikata aku masih hidup pada hari itu, nescaya aku akan menolong engkau dengan sedaya upayaku.” Tidak lama kemudian, Waraqah pun meninggal dunia, lalu penurunan wahyu terhenti buat sementara waktu. 

Riwayat al-Bukhari (3) 

Selain itu juga, Nasab Khadijah bertemu dengan nasab Nabi SAW pada Qusai. Beliau adalah wanita pertama yang dinikahi oleh Nabi Muhammad SAW dan orang pertama yang menerima dakwah Islam. Rasulullah SAW sangat menyayangi dan mencintai Khadijah sehinggakan Baginda pernah bersabda:

إنِّي قدْ رُزِقْتُ حُبَّها

Maksudnya:Sesungguhnya aku telah dikurniakan perasaan cinta terhadapnya (Khadijah).”

Riwayat Muslim (2435)

Tambahan lagi, Nabi Muhammad SAW tidak berkahwin dengan perempuan lain ketika Baginda bersama Khadijah sehinggalah beliau wafat iaitu tiga tahun sebelum hijrah dan tahun yang sama Abu Talib wafat. (Lihat Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi, 2/351-353). 

(Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 278-280)

Semoga Allah kurniakan kita ketakwaan dan cinta kepada Islam sebagaimana Khadijah R.Anha telah laksanakannya sebagai hamba Allah yang solehah. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.” 

Surah al-Hasyr (10)

Leave a Reply