Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum memakan tapai sebab bukankah tapai mempunyai kandungan alkohol di dalamnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan mengenai tapai. Tapai ialah sejenis penganan dan makanan tradisional yang berasaskan beras atau makanan berkanji. Tapai terdapat di seluruh Asia Tenggara dan sebahagian Asia Timur, terutamanya dalam budaya Austronesia.[1] Ia mempunyai rasa manis atau masam. Tapai dibuat secara tradisional dengan beras putih atau pulut, tetapi juga boleh dibuat dari pelbagai sumber karbohidrat, termasuk ubi kayu dan kentang. Penapaian dilakukan oleh pelbagai kulat termasuk Aspergillus oryzae, Rhizopus oryzae, Amylomyces rouxii atau spesies Mukor, dan ragi termasuk Saccharomyces cerevisiae, dan Saccharomycopsis fibuliger, Endomycopsis burtonii dan lain-lain, bersama dengan bakteria.

Bahan-bahan untuk membuat tapai tidaklah terlalu rumit. Secara tradisinya, Tapai memerlukan bahan seperti beras nasi atau pulut, dan ragi yang dicampurkan sehingga sebati. Kemudiannya ia akan dibungkus sedikit-sedikit dengan menggunakan daun tapai. Tetapi pada zaman ini, daun tapai semakin sukar didapati dan kebanyakan tapai dibungkus dengan menggunakan daun pisang. Terdapat sedikit perbezaan rasa antara tapai yang dibungkus dengan daun tapai dan tapai yang dibungkus dengan daun pisang.

Tapai yang telah siap dibungkus dimasukkan ke dalam pasu tempayan yang besar dan ditutup dengan kain. Setelah diperam dan disimpan selama 3 hari, tapai itu akan masak dan barulah boleh dimakan. Tapai yang telah masak mengeluarkan air yang sangat manis.

Di zaman moden, selain beras, pelbagai jenis sumber karbohidrat seperti ubi kayu atau ubi keledek juga boleh digunakan. Proses umumnya adalah membasuh dan memasak makanan sasaran, disejukkan hingga kira-kira 30 °C, dicampurkan dalam serbuk ragi. Kemudiannya ia disimpan dalam balang tertutup selama satu hingga dua hari. Jika menggunakan ubi kayu dan ubi keledek, ubi dibasuh dan dikupas sebelum dimasak, kemudian berlapis dalam bakul dengan ragi ditaburkan di atas setiap lapisan. Biji-bijian yang siap akan rasa manis dengan sedikit alkohol, dan boleh dimakan seperti itu, atau dibiarkan selama beberapa hari lagi untuk menjadi lebih masam.[2]

Hukum memakan tapai

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa tapai termasuk dalam makanan yang halal dimakan sebagaimana hukum asalnya selagi mana tidak ada dalil lain yang menunjukkan hukum sebaliknya.  Ini kerana pada asasnya hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2). Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudharatan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan — dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Selain itu, al-Qarafi juga ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal — berlepas daripada hukum haram.

Selain daripada itu, al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Selain itu, sekalipun tapai mempunyai kandungan alkohol tetapi ia tidak memabukkan dan pembuatannya juga tidak sama seperti proses membuat arak atau bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak. Hal ini selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11-12 April 1984 telah membincangkan Alkohol Menurut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  • Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.
  • Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
  • Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.
  • Tapai halal dimakan.
  • Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.
  • Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.[3]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tapai harus dan halal untuk dimakan sekalipun ia mengandungi sedikit kandungan alkohol. Ini kerana proses pembuatannya tidak sama seperti proses membuat arak dan begitu juga bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak.

Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Namun, keharusan untuk memakan tapai itu terikat selagi mana ia tidak memabukkan pemakannya. Jika ia memabukkan, maka hukumnya adalah haram untuk dimakan. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Jabir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ

Maksudnya: “Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram.”

Riwayat Abu Daud (3681); al-Tirmizi (1866) dan Ibn Majah (3393)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota kaki:

[1] Orang Austronesia termasuk kaum asli Taiwan, kebanyakan kumpulan etnik di Timor Leste, Indonesia, Malaysia, Filipina, Madagascar, New Zealand, Micronesia; Melanesia; dan Polynesia. Wilayah yang diduduki oleh orang Austronesia juga dikenali sebagai Austronesia. (Lihat https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Orang_Austronesia. Diakses pada 24 November 2023).

[2] Lihat https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Tapai. Diakses pada 24 November 2023.

[3] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10258. Diakses pada 24 November 2023.

Leave a Reply