Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana ingin membina keamanan khususnya di Malaysia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ‎

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan. (Lihat al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil, 4/374)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan: Ayat ini ditujukan buat seluruh manusia secara mutlak. Melalui ayat ini, Allah S.W.T menjelaskan bahawasaNya telah menciptakan kita berbagai bangsa dan puak untuk kita saling mengenali bukan saling membanggakan nasab. Namun, yang membezakan antara kita semua adalah ketakwaan kepada Allah SWT (Lihat Tafsir al-Munir 26/259)

Keamanan dan Kestabilan Masyarakat Majmuk

Malaysia atau asalnya Tanah Melayu dikurniakan Allah SWT dengan pemimpin-pemimpin yang sentiasa komited untuk memperjuangkan agama Islam tanpa menjejaskan hubungan dan keakraban masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama. Keadaan ini berterusan sejak kedatangan Islam di Tanah Melayu sehinggalah ke hari ini. Hal yang demikian dipengaruhi oleh sifat masyarakat Muslim yang majoritinya berbangsa Melayu yang sangat mementingkan keharmonian di dalam masyarakat tanpa menggadaikan maruah agama. Mereka tegas dalam mempertahankan kedudukan Islam di Malaysia namun tetap berhemah ketika bersama-sama menjalani kehidupan harian mereka. Inilah sifat yang ditiru daripada Rasulullah SAW yang bersikap keras dan tegas apabila kaum kafir cuba merobek kesucian Islam namun Baginda boleh bermuamalah seperti biasa dalam urusan-urusan seharian seperti berjual-beli. Bahkan pernah diriwayatkan bahawa baju besi Baginda SAW masih tergadai di tangan seorang yahudi ketika kewafatan Baginda SAW yang mununjukkan hubungan yang baik antara Baginda SAW dengan masyarakat. Daripada Abdullah bin ‘Amr R.A bahawa Baginda SAW bersabda:

مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh orang kafir yang telah mengikat perjanjian dengan pemerintahan muslim, maka dia tidak dapat mencium bau syurga sedangkan baunya dapat dicium dari jarak perjalanan empat puluh tahun.”

Riwayat al-Bukhari (3166)

Begitu juga Nabi SAW bersabda :

مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا، أَوِ انْتَقَصَهُ، أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ، أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ، فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menzalimi seorang kafir mu‘ahad, atau mengurangi haknya, atau membebaninya sesuatu yang tidak tertanggung olehnya, ataupun mengambil daripadanya sesuatu tanpa senang hati, maka aku akan menjadi pembelanya kelak pada hari Kiamat”

Riwayat Abu Dawud (3052)

Syeikh al-‘Azim Abadi menyatakan bahawa termasuk di dalam erti al-Mu‘ahid ialah kafir zimmi dan mustakman (yang diberi jaminan keamanan). Di antara perkara yang menzalimi mereka, sekiranya mengutip bayaran jizyah atau kharaj bukan kepada sesiapa yang diwajibkan ke atasnya atau mengambil lebih daripada sepatutnya. (Lihat, ‘Aun al-Ma’bud, 8/211)

Syihabuddin al-Qarafi telah menyatakan bahawa: “Sesungguhnya terdapat janji setia daripada golongan zimmi yang mewajibkan beberapa hak yang mesti dijaga. Ini kerana mereka hidup di dalam lindungan kita serta berada dalam naungan Allah SWT dan RasulNya serta di bawah naungan Islam. Sesiapa yang mengganggu mereka sekalipun dengan suatu perkataan yang buruk, atau melakukan penghinaan terhadap kehormatan salah seorang daripada mereka, atau apa jua jenis daripada penganiayaan, maka mereka itu telah mensia-siakan naungan Allah SWT dan RasulNya serta naungan agama Islam”. (Lihat al-Furuq, 3/14)

Kita perlu sedar bahawa hubungan dan kesatuan antara kita sesama manusia adalah juga bertaut pada semangat kemanusiaan (insaniyyah/humanity) dan bukannya hanya pada faham creedal nation (al-ummah al-‘aqidiyyah). Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang boleh memandu kita dalam menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini. Adalah menjadi satu keperluan bagi seluruh manusia untuk sedar bahawa sejauh mana perbezaan warna kulit, bangsa, politik dan agama, mereka adalah tetap bersaudara.

Kesimpulan

Sesebuah masyarakat majmuk sudah pasti mengumpulkan pelbagai latar belakang kaum, malah sikap dan karakter yang juga berbeza. Begitulah Kota Madinah yang dipimpin oleh Rasulullah SAW. Maka seorang pemimpin yang menerajui masyarakat majmuk harus mempunyai strategi dan perancangan yang teliti agar hukum syarak tertegak, keharmonian hidup masyarakat juga terpelihara.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Leave a Reply