Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apabila seseorang mendakwa hadith Nabi, adakah perlu dibuktikannya jika merasa ragu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam hal ini, sudah tentu Rasulullah SAW berjalan dan bertemu ramai sahabatnya dan boleh jadi beliau sampai pada seseorang sahabat dan tidak diketahui oleh sahabat yanag lain. Justeru, dalam isu seperti ini, amat eprlu untuk dikenalpasti supaya hilang rasa ragu-ragu. Kata pujangga:
إِنْ كُنْتَ نَاقَلاً فَعَلَيْكَ بِالتَصْحِيحِ، وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ بِالدَّلِيلِ
Maksudnya: “Jika kamu ingin menukilkan sesuatu, maka pastikan kesahihannya terlebih dahulu dan jika kamu ingin membuat dakwaan, maka hendaklah dengan mengemukakan bukti.”
Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah dalil daripada Ubaid bin Umair, katanya:
اسْتَأْذَنَ أَبُو مُوسَى عَلَى عُمَرَ فَكَأَنَّهُ وَجَدَهُ مَشْغُولًا فَرَجَعَ. فَقَالَ عُمَرُ: أَلَمْ أَسْمَعْ صَوْتَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ قَيْسٍ؟ ائْذَنُوا لَهُ. فَدُعِيَ لَهُ، فَقَالَ: مَا حَمَلَكَ عَلَى مَا صَنَعْتَ؟ فَقَالَ: إِنَّا كُنَّا نُؤْمَرُ بِهَذَا. قَالَ: فَأْتِنِي عَلَى هَذَا بِبَيِّنَةٍ أَوْ لَأَفْعَلَنَّ بِكَ. فَانْطَلَقَ إِلَى مَجْلِسٍ مِنَ الأَنْصَارِ. فَقَالُوا: لاَ يَشْهَدُ إِلَّا أَصَاغِرُنَا. فَقَامَ أَبُو سَعِيدٍ الخُدْرِيُّ فَقَالَ: قَدْ كُنَّا نُؤْمَرُ بِهَذَا. فَقَالَ عُمَرُ: خَفِيَ عَلَيَّ هَذَا مِنْ أَمْرِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَلْهَانِي الصَّفْقُ بِالأَسْوَاقِ.
Maksudnya: Abu Musa meminta izin kepada Umar (untuk masuk) namun seakan-akan beliau mendapati Umar sedang sibuk, maka beliau pun pulang. Maka Umar berkata: “Bukankah aku mendengar suara Abdullah bin Qais? Berilah izin kepadanya (untuk masuk).” Lalu beliau dipanggil untuknya dan Umar berkata: “Apakah yang mendorongmu melakukan perbuatanmu?” Beliau berkata: “Sesungguhnya kita diperintah demikian.” Umar berkata: “Datangkan kepadaku bukti atas hal ini atau aku akan melakukan sesuatu terhadapmu.” Kemudian beliau pergi ke majlis kaum Ansar (dan bertanya kepada mereka mengenai perkara itu). Mereka berkata: “Yang memberi persaksian hanya orang-orang muda kami.” Lalu Abu Sa‘id al-Khudri berdiri dan berkata: “Sesungguhnya kita diperintah demikian.” Maka Umar pun berkata: “Telah tersembunyi perkara ini ke atasku bahawa ia daripada perintah Nabi SAW. Sesungguhnya aku telah dilalaikan oleh urusan dagangan di pasar-pasar.”
Riwayat al-Bukhari (7353)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir Ibn Kathir, 3/75)