Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan al-Quran sebagai risalah yang benar?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًۭا كَبِيرًۭا
Maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi hidayah ke jalan yang amat lurus dan menyampaikan berita gembira kepada para mukmin yang mengerjakan amalan soleh bahawa mereka akan memperoleh pahala yang amat besar.”
(Surah al-Isra’: 9)
Ibn Kathir berkata: Allah SWT memuji Kitab-Nya yang Mulia, iaitu al-Quran, yang diturunkan-Nya kepada Rasul-Nya, Muhammad SAW. Al-Quran dipuji kerana memberikan petunjuk kepada jalan yang paling lurus dan menjelaskan dengan jelas jalan-jalan yang benar. Allah memberikan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman yang melakukan amal perbuatan yang baik, bahawa mereka akan memperoleh pahala yang besar pada Hari Kiamat. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/45)
Al-Quran sebagai Risalah yang Benar
Terbukti kandungan al-Quran kaya dengan ketinggian Bahasa Arab dan menyentuh pelbagai bidang ilmu. Mustahil sekali al-Quran dicipta oleh manusia yang lemah. Al-Walid bin al-Mughirah seorang pemimpin Makkah dan ahli syair pernah mengakui bahawa al-Quran mengatasi segala bicara manusia. Ia menyebut al-Quran berkedudukan tinggi dan selainnya berada di bawah. Setelah diancam Abu Jahal, Al-Walid bin al-Mughirah mula menyebut al-Quran adalah sihir yang memukau.
Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir (11/177-179) menyatakan, penegasan al-Quran sebagai risalah yang benar dapat dilihat menerusi lima sudut:
- Al-Quran tidak diciptakan selain Allah SWT. Terbukti keadaan kandungannya tidak dapat dirancang oleh manusia.
- Al-Quran berperanan menyambung risalah kitab terdahulu dan begitu konsisten dalam isu agama. Dalam pada itu, kitab ini juga menjelaskan isu berdasarkan acuan syariat yang bersesuaian dengan umat semasa dan yang akan datang. Buktinya terdapat ayat tentang kemenangan Rom ke atas Parsi dan pembukaan kota Makkah sebelum peristiwa ini berlaku.
- Al-Quran sebagai kitab yang menyempurnakan keperluan manusia berdasarkan syariat yang mensejahterakan kehidupan. Di samping itu, al-Quran turut menyentuh beberapa ilmu sampingan atau ilmu sains gunaan.
- Tiada kekurangan di dalam al-Quran. Ini kerana kaedah ayat dan mesej ayat adalah jelas dan lengkap.
- Al-Quran berkait rapat dengan Allah SWT. Proses penurunan al-Quran adalah daripada kalam Allah SWT yang kemudiannya diamanahkan kepada Malaikat Jibril A.S untuk disampaikan secara sebutan dan memori kepada Nabi Muhammad SAW yang bersifat ummi (tidak tahu membaca dan menulis).
Sehingga kini, al-Quran terus dikaji dan digali oleh pelbagai pihak sama ada muslim ataupun bukan Muslim. Ilmu yang terhasil daripada sebuah kitab kecil ini tidak pernah habis walaupun setelah hampir 1500 tahun. Adalah sesuatu yang mustahil bagi seseorang manusia menulis kitab seperti ini, maka al-Quran adalah hidayah dan petunjuk ilmu bagi manusia daripada Tuhan semesta alam. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/361-362)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.