Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah darurat membolehkan sesuatu yang dilarang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, terdapat banyak nas al-Quran dan hadith yang membincangkan isu ini. Cukuplah bagi kami menukilkan pandangan Dr Yusuf al-Qaradawi. Antara lain katanya:

Islam telah menyempitkan batasan yang haram. Tetapi diberatkan pula tentang perkara yang haram itu dengan menutup semua jalan yang boleh menarik kepada yang haram, sama ada jalannya yang jelas, mahupun yang tersembunyi, iaitu masih kesamaran. Tegasnya, apa sahaja yang boleh menarik dan membantu perkara yang haram, maka hukumnya haram. Apa sahaja yang dibuat secara helah, yang akan menyampaikannya kepada yang haram, maka hukumnya juga haram, sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini daripada prinsip petunjuknya.

Islam tidak pernah melalaikan kepentingan hidup manusia dalam keadaan daruratnya yang akan dihadapinya ketika menjalani kehidupan di dunia ini. Lalu Islam membataskan kadar darurat yang menekan dan kadar kelemahan diri manusia dengan membolehkan setiap peribadi Muslim ketika ditekan oleh keadaan darurat, untuk mengambil perkara yang diharamkan, sekadar hanya dapat menolak atau menghilangkan darurat yang menimpanya supaya terselamat daripada kebinasaan. Oleh itu, Allah SWT berfirman selepas dijelaskan apa yang diharamkan dari memakan makanan yang haram, yang berupa bangkai, darah dan daging khinzir.

 فَمَنِ ٱضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍۢ وَلَا عَادٍۢ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Barangsiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ianya tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ianya berdosa. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

  (Surah al-Baqarah: 173)

Maksud yang sama dengan pengertian di atas telah diulang sebutannya oleh Allah SWT di dalam empat surah daripada al-Quran, setiap kali disebutkan tentang pengharaman ke atas makanan. Sesuai dengan ayat-ayat ini dan yang seumpamanya, maka para fuqaha Islam telah menetapkan suatu kaedah yang penting, iaitu:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: “Yang darurat (keadaan terpaksa) membolehkan perkara yang dilarang.” (Lihat al-Qawaid wa al-Dhawabit al-Fiqhiyyah al-Mutadhamminah li al-Taisir, 1/287).

Jika diperhatikan bahawa ayat-ayat tersebut mengikut keadaan orang yang terpaksa itu, maka ianya hendaklah tidak disengajakan dan tidak pula melewati batas. Maksud dari tiada disengajakan ialah tidak memerlukannya kerana merasa lazat terhadapnya dan maksud tidak melewati batas ialah batasan darurat sahaja, jangan sampai dimakannya sehingga kenyang. Dengan ikatan ini, maka para fuqaha telah meletakkan suatu konsep yang lain, iaitu:

الضَّرُوْرَةُ تُقَدَّرُ بِقَدَرِهَا

Maksudnya: “Yang darurat itu dibatasi dengan mengikut kadarnya.”

Meskipun manusia tunduk kepada tuntutan darurat, namun tidaklah boleh dia menyerahkan dirinya kepada tuntutan itu dan mengikut petunjuk dengan sepenuhnya, malah dia hendaklah menahan diri untuk mencari terlebih dahulu apa yang asalnya halal sehingga dia tidak mudah terperangkap dengan perkara yang haram atau merasa terikut dengan tuntutan darurat.

Islam juga membenarkan untuk melakukan larangannya pada masa darurat menurut kehendak jiwa yang umum dan kaedah yang menyeluruh, iaitu jiwa yang senang dengan kemudahan yang tidak menghalanginya dengan keberatan dan sesuai dengan konsep keringanan yang menghakis dari umat Islam segala beban dan belenggu yang pernah membelit tengkuk umat Islam yang sebelumnya. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلْعُسْرَ

Maksudnya: “Allah SWT menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ianya tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

 مَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍۢ وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُۥ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Allah SWT tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi ianya berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Maidah: 6)

Firman Allah SWT:

يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ ۚ وَخُلِقَ ٱلْإِنسَـٰنُ ضَعِيفًۭا

Maksudnya: “Allah SWT (sentiasa) hendak meringankan (beban hukum-Nya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.”

(Surah al-Nisa’: 28)

(Lihat Halal Haram dalam Islam, hlm. 53)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Leave a Reply