Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah upah tok nujum dibolehkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Abu Mas’ud al-Ansari R.A, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَمَهْرِ البَغِيِّ، وَحُلْوَانِ الكَاهِنِ.

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW melarang daripada mengambil hasil jualan anjing, mahar pelacur (hasil daripada zinanya), dan upah tukang tilik.”

Riwayat al-Bukhari (2234) dan Muslim (1567)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan:

 أَمَّا الْكَاهِنُ فَهُوَ الَّذِي يَدَّعِي عِلْمَ الْغَيْبِ، وَهُوَ شَامِلٌ لِلْعَرَّافِ، وَالْمُنَجِّمِ، وَضَرَّابِ الْحَصَى، وَقَارِيءِ الْكَفِّ، وَغَيْرِهِمْ مِنَ الدَّجَّالِينَ وَالمُشَعْوَذِيْنَ.

Maksudnya: Adapun al-Kahin adalah orang yang mendakwa dirinya mengetahui hal-hal ghaib. Ia mencakupi al-’Arraf (peramal), ahli nujum (perbintangan), pemukul batu kerikil, pembaca tapak tangan dan yang sejenisnya, yang merupakan  para Dajjal dan para penyihir.

قَالَ ابنُ الأَثِير: الكَاهِنُ الَّذِي يُخْبِرُ بِالْغَيبِ المُسْتَقْبَل، وَالعرَّافُ الَّذِي يُخْبِرُ بِمَا خَفِيَ، فَبَعْضُهُمْ زَعَمَ: أنَّ لَهُ تَابِعًا مِنَ الْجِنِّ يُلْقِي إِلَيْهِ الأَخْبَارَ، وَبَعْضُهُمْ يَزْعُمُ: أنَّهُ: يَعْرِفُ الأمُورَ بِمُقَدِّمَاتٍ وَأَسْبَابٍ، يَسْتَدِلُّ بِهَا عَلَى مَوَاقِعِهَا مِنْ كَلَام مَنْ يَسْأَلُهُ، أَوْ فِعْلِهِ، أَوْ حَالِهِ، وَمِنهُمْ مَنْ يدَّعِي أَنَّهُ يَسْتَدْرِكُ الأمُورَ بِفَهْمٍ أُعْطِيَهُ.

Ibn al-Athir berkata: al-Kahin adalah orang yang memberitahu hal-hal ghaib untuk masa akan datang. Sementara peramal (al-’Arraf) adalah orang yang memberitahu tentang sesuatu yang tersembunyi. Sebahagian menyatakan bahawa para peramal memiliki jin yang dapat menyampaikan berita kepadanya. Sebahagian yang lain berpandangan bahawa peramal adalah orang yang mengetahui banyak perkara melalui andaian dan sebab akibat, di mana hal tersebut dapat dijadikan bukti bagi orang yang bertanya, orang yang melakukan dan keadaanya. Sebahagian yang lain berpandangan bahawa peramal adalah orang yang mengaku dapat menyerap banyak perkara melalui pemahaman yang diberikan kepadanya.

Berdasarkan hadith di atas, terdapat beberapa pengajaran, antaranya:

  • Pengakuan memiliki pengetahuan tentang alam ghaib yang merupakan milik Allah SWT adalah dosa besar. Hal tersebut sepertimana pengakuan para Kahin, ‘Arraf, ahli nujum, di mana mereka mengetahui hal-hal ghaib, iaitu hal-hal berkaitan masa depan dan yang tersembunyi. Apatah lagi apabila pengakuan-pengakuan yang batil ini dijadikan sebagai perantara untuk menarik harta orang lain secara batil.
  • Sesungguhnya kebenaran dakwaan mengenai hal ghaib ini tidak berlaku kecuali melalui pemberitaan yang dibawa oleh syaitan-syaitan kepada mereka. Syaitan-syaitan tersebut tidak akan memberitahu hal-hal ghaib kepada mereka, kecuali apabila mereka berkhidmat dan tunduk kepada mereka dengan kufur kepada Allah dan perbuatan maksiat yang lain. Sebagaimana Allah SWT berfirman mengenai mereka:

 اسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍ وَبَلَغْنَا

Maksudnya: “…sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (syaitan-syaitan), dan kami telah sampai..”

(Surah al-An’am: 128)

  • Mendatangi para dajjal tersebut adalah perbuatan maksiat yang terkadang membawa kepada kekufuran, iaitu ketika mereka meyakini apa yang dikatakan oleh para dajjal tersebut.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَتَى عَرَّافاً أَوْ كَاهِناً ، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ.

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendatangi seorang tukang tenung atau tukang ramal nasib lalu dia percaya pada apa yang dikatakan olehnya, maka dia telah mengingkari (kufur) akan syariat yang diturunkan ke atas Muhammad SAW.”

Riwayat Abu Daud (3904), al-Tirmizi (135), al-Nasa’ie dalam a-Sunan al-Kubra (9018), Ibn Majah (639) dan Ahmad (10167).

Inilah juga sepertimana dijelaskan dalam kitab Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram oleh Syeikh Abdullah al-Bassam (4/236).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Leave a Reply