Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada baca buku Dato bertajuk Inilah Doaku. Dalam buku tu, pada doa-6, ada disebut lafaz ‘Ubun-Ubunku di Tangan-Mu’ (نَاصِيَتِي بِيَـدِكَ). Boleh Dato jelaskan, apa maksudnya. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami kemukakan terlebih dahulu, doa ke-6 yang kami sertakan dalam buku Inilah Doaku, iaitu memohon kelapangan hati dan jiwa, iaitu:
اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، وَابْنُ عَبْدِكَ ، وَابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي ، وَنُورَ صَدْرِي ، وَجِلَاءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan-Mu. Aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hatiku, cahaya di dadaku, penghilang kesedihanku, penghapus kesusahanku.”
Riwayat Ahmad (3712), Ibn Hibban (972), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (29808), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (155), al-Tabarani dalam al-Du’a (1035), al-Hakim dalam al-Mustadrak (1/509) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (339)
Doa ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda: “Tiadalah apa-apa masalah atau kesedihan menimpa seseorang, lalu orang itu membaca:
اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، وَابْنُ عَبْدِكَ ، وَابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي ، وَنُورَ صَدْرِي ، وَجِلَاءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan-Mu, aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, (aku memohon kepada-Mu) untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hatiku, cahaya di dadaku, penghilang kesedihanku, penghapus kesusahanku,”
(Apabila seseorang membaca seperti ini) pasti Allah akan menghapuskan kesusahan dan kesedihannya, dan menjadikan untuknya jalan keluar. Abdullah bin Mas’ud R.A bertanya: “Ya Rasulullah, perlukah aku mempelajari doa ini?” Baginda SAW menjawab: “Ya, sudah sepatutnya sesiapa yang mendengarnya untuk mempelajarinya.”
Riwayat Ahmad (3583)
Hadith ini mengandungi beberapa perkara, antaranya seperti makrifah (pengetahuan), tauhid dan ubudiyyah. (Lihat al-Fawa’id, hlm. 16)
Dalam menjelaskan lafaz ‘Ubun-Ubunku di Tangan-Mu’ (نَاصِيَتِي بِيَـدِكَ), pengarang Mir’at al-Mafatih (18/298) menyebut: Yakni, tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan-Mu ya Allah. Ia adalah sebagai kinayah terhadap kesempurnaan kudrat-Nya dan isyarat kepada kawalan-Nya terhadap keputusan untuk menahan kehendak-Nya. Ia juga adalah iqtibas terhadap firman Allah SWT: ‘مَّا مِن دَابَّةٍ إِلَّا هُوَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا’ (“Tidak ada suatu binatang melata pun melainkan Dialah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus.”) (Surah Hud: 56)
Lafaz ini juga terdapat dalam firman Allah SWT:
مَّا مِن دَابَّةٍ إِلَّا هُوَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا
Maksudnya: “Tidak ada suatu binatang melata pun melainkan Dialah yang memegang ubun-ubunnya.”
(Surah Hud: 56)
Dalam Tafsir Jalalain dijelaskan: Huruf min di sini adalah za’idah (suatu binatang) makhluk yang melata di bumi (melainkan Dialah yang memegang ubun-ubunnya) ertinya, Dialah yang menguasai dan yang memaksakannya, maka tidak dapat memberikan manfaat dan tidak pula mudarat melainkan dengan izin-Nya. Dalam ayat ini disebutkan lafaz al-nasiyah (النَّاصِيَة) secara khusus, yang ertinya ubun-ubun, kerana seseorang yang dipegang ubun-ubunnya bererti sangat hina. Ini menggambarkan hinanya makhluk dibandingkan dengan Allah. (Sesungguhnya Rabbku di atas jalan yang lurus) yaitu jalan kebenaran dan keadilan. (Lihat Tafsir Jalalain, hlm. 332)
Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”