Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.Apakah hukum jika saya meletakkan sesuatu barang di atas al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.”

Riwayat Muslim (817);  Ibn Majah (218);  Ibn Hibban (772)

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581)

Tiada perbezaan di kalangan ulama tentang kewajipan memuliakan al-Quran. Hal ini telah disebut oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ : Ulama bersepakat hukum menjaga mushaf dan memuliakannya adalah wajib. (Lihat al-Majmu’, 2/85)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan salah satu adab kita dengan al-Quran adalah dengan tidak meletakkan sesuatu di atasnya, kecuali al-Quran yang lain. Di sini, kami nukilkan pandangan Imam Nawawi:

أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى وُجُوبِ صِيَانَةِ الْمُصْحَفِ وَاحْتِرَامِهِ

Maksudnya: Para ulama telah bersepakat bahawa wajib memelihara dan menghormati mashaf al-Quran. (Lihat  Al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm 190)

Selain itu, Imam al-Qurtubi juga menyatakan:

وَمِنْ حُرْمَتِهِ إِذَا وَضَعَ الصَّحِيفَةُ أَنْ لَا ‌يَتْرُكَهُ ‌مَنْشُورًا وَأَنْ لَا يَضَعَ فَوْقَهُ شَيْئًا مِنْ الْكُتُبِ حَتَّى يَكُونَ أَبَدًا عَالِيًا عَلَى سَائِرِ الْكُتُبِ

Maksudnya: Antara kehormatan mashaf yang perlu dijaga adalah dengan tidak meletakkan kitab di atasnya, supaya dengan itu ia selamanya berada lebih tinggi daripada seluruh kitab-kitab lain. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 1/42)

Bahkan, Imam al-Baihaqi turut nyatakan:

وَمِنْهَا أَنْ لَا يُحْمَلَ عَلَى الْمُصْحَفِ كِتَابٌ آخَرُ ‌وَلَا ‌ثَوْبٌ ‌وَلَا ‌شَيْءٌ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مُصْحَفَانِ فَيُوضَعَ أَحَدُهُمَا فَوْقَ الْآخَرِ فَيَجُوزُ

Maksudnya: Antara adab dengan al-Quran adalah dengan tidak meletakkan kitab, kain atau apa jua barang sama ada barang berharga atau barang yang yang rendah nilainya. Namun jika meletakkan suatu mashaf di atas mashaf yang lain, maka ia diharuskan.(Lihat Syu ‘ab al-Iman,3/329)

Justeru, hukum meletakkan sesuatu di atas al-Quran tidaklah dihukum haram (jika tidak niat untuk menghina atau memperlekehkan keagungan al-Quran), namun ia merupakan adab kita dengan kalam Allah yang mana sebaiknya kita pelihara dengan sebaik mungkin. Maka, sewajarnya kita tidak meletakkan apa-apa di atas al-Quran melainkan al-Quran yang lain.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

 Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam

Leave a Reply