Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah penjual mensyaratkan manfaat maklum pada barang jualan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Jawapan
Kami mulakan dengan hadith daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma:
أَنَّهُ كَانَ عَلَى جَمَلٍ لَهُ قَدْ أعْيَا، فَأَرَادَ أنْ يُسَيِّبهُ، قَالَ: فَلَحِقَنِي النَّبيُّ -صلى الله عليه وسلم-، فَدَعَا لِي وَضَرَبةُ، فَسَارَ سَيْرًا لَمْ يَسِرْ مِثْلَهُ، فَقَال: بِعْنيهِ بِأُوْقِيَّةٍ؟ قُلْتُ: لاَ، ثُمَّ قَالَ: بِعْنِيهِ، فَبِعْتُهُ بأُوْقِيَّةٍ، وَاشْتَرَطْتُ حُمْلاَنَهُ إلَى أَهْلِي، فَلَمَّا بلَغْتُ أتيْتُهُ بِالجَمَل، فَنَقَدَنِي ثَمَنهُ، ثُمَّ رَجَعْتُ فَأَرْسَلَ فِي أثَرِي، فَقَال: أَتُرَانِي مَاكَسْتُكَ، لآخذَ جَمَلَكَ؟ خُذْ جَمَلَكَ وَدَرَاهِمَكَ، فَهُوَ لَكَ.
Maksudnya: Bahawa beliau berada di atas unta yang telah lemah. Kemudian dia ingin melepaskan untanya begitu sahaja. Katanya: Lalu Nabi SAW menemuiku dan mendoakanku dan memukul untaku, lalu untaku kembali berjalan tidak seperti biasanya. Lalu Nabi SAW bersabda: “Juallah padaku unta tersebut dengan satu uqiyah.” Aku menjawab: “Tidak aku jual.” Baginda berkata: “Juallah padaku.” Maka aku pun menjualnya dengan satu uqiyah. Aku memberi syarat untuk dapat membawa unta tersebut terlebih dahulu kepada keluargaku. Ketika aku sampai, maka aku menemui keluargaku dengan membawa unta tersebut di mana Nabi SAW telah membayarnya terlebih dahulu. Lalu aku kembali. Kemudian Nabi SAW mengikuti jejakku, lalu Baginda bersabda: “Apakah kamu kira aku akan meminta pengurangan harga untuk mengambil untamu? Ambillah untamu dan wang beberapa dirham. Semuanya untukmu.”
Riwayat al-Bukhari (2861) dan Muslim (3/121)
Al-’Aini berkata: berkenaan kalimah ‘قُلْتُ: لاَ،’, telah thabit bahawa Jabir R.A berkata: “Aku tidak menjualnya, tetapi menghibahkannya kepadamu.”
Berkenaan persoalan di atas, para ulama berbeza pendapat, apakah boleh bagi seorang penjual mensyaratkan pemberian manfaat tertentu terlebih dahulu pada barang dagangannya seperti menempati rumah yang dijual selama satu bulan? Apakah boleh juga bagi si pembeli mensyaratkan kepada si penjual manfaat tertentu di dalam barangan dagangannya, seperti dia mensyaratkan bahawa membawa barang yang telah dia beli ke suatu tempat tertentu atau menjahit baju yang dijual serta sejenisnya?
Tiga Imam Mazhab berpendapat kepada dilarangnya hal tersebut berdasarkan hadith daripada Jabir R.A:
أنَّ النَّبيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- نَهَى عَنِ الثُّنْيَا إِلَّا أَنْ تُعْلَمَ
Maksudnya: “Bahawa NAbi SAW melarang mengecualikan sesuatu dalam transaksi kecuali jika ia diketahui.”
Riwayat Abu Dawud (3405) dan al-Tirmizi (1290)
Imam Ahmad berpendapat, “Dibolehkan satu syarat sahaja dan apabila terkumpul dua syarat, maka jual beli batal.” Pendapat ini dipersetujui oleh Ishaq, al-Auza’i dan Ibn al-Munzir.
Daripada Imam Ahmad, terdapat riwayat lain. Sesungguhnya akad jual beli sah dengan syarat-syarat tertentu yang kembali kepada si penjual atau si pembeli, iaitu berupa manfaat yang jelas yang ada di dalam barang atau nilai barang, atau adanya manfaat yang kembali kepada pembeli walaupun manfaat tersebut banyak. Riwayat ini dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim dan guru kami Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di.
Syeikh al-Islam berkata: “Prinsip dasar di dalam akad dan syarat adalah sah dan mubah. Ia tidak dapat diharamkan dan tidak dapat dibatalkan kecuali apabila Syariat menunjukkan pengharaman dan pembatalannya.” Ibn al-Qayyim berkata: “Seluruh syarat yang tidak bertentangan dengan al-Quran, maka ia merupakan keharusan.”
Dalil para muhaqqiq ialah:
- Hadith Jabir R.A yang telah disebut di atas.
- Rasulullah SAW melarang pengecualian penjualan sesuatu dari barang yang dijual kecuali apabila ia diketahui.
نَهَى عَنِ الثُّنْيَا إِلَّا أَنْ تُعْلَمَ
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW melarang mengecualikan sesuatu dalam transaksi kecuali jika ia diketahui.”
Riwayat Abdu Daud (3404), al-Tirmizi (1290), al-Nasa’ie (3880), Ibn Majah (2266) dan Ahmad (14358).
Ini adalah syarat-syarat dan pengecualian-pengecualian yang jelas.
- Rasulullah SAW bersabda:
الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلَّا شَرْطًا أَحَلَّ حَرَامًا أَوْ حَرَّمَ حَلَالًا
Maksudnya: “Umat Islam berdasarkan syarat-syarat mereka, kecuali syarat yang menghalalkan sesuatu yang haram, dan mengharamkan sesuatu yang halal.”
Riwayat Abu Dawud (3594), al-Tirmizi (1352) dan Ibn Majah (2353)
Inilah sepertimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/237-238).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”