Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum jual lebihan air?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, katanya:
نَهَى رَسُولُ الله -صلى الله عليه وسلم- عن بيْع فَضْلِ المَاءِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang menjual air yang berlebihan.”
Riwayat Muslim (1565)
Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan:
Maksud ‘فَضْل المَاءِ’ ialah air yang tersisa daripada keperluan seseorang.
Air yang tersisa, yang wajib diberikan adalah air yang berkumpul di telaga, bersumber dari mata air, sungai yang mengalir atau air yang berasal dari telaga, sekalipun air-air tersebut berada pada tanah milik sendiri, iaitu selagi air yang ada merupakan sisa daripada keperluan pemilik tanah, dan tidak ada bahaya yang besar dengan masuknya orang-orang yang meminta minum ke dalam kawasan tanahnya.
Dikatakan dalam al-Syarh al-Kabir: Adapun sungai-sungai yang bukan miliknya, maka ia tidak dapat dimiliki. Adapun air yang bersumber dari tanah milik seseorang seperti telaga, maka telaga tersebut menjadi milik pemilik tanah. Sementara airnya tidak dapat dimiliki menurut pendapat mazhab Imam Ahmad. Pendapat yang kedua mengatakan bahawa ia boleh dimiliki. Perbezaan pendapatnya terletak pada sebelum air tersebut dibawa. Adapun setelah dibawa, maka tidak diragukan lagi bahawa yang membawanya dapat memilikinya.
Adapun air-air yang dibawa dengan kendi, bejana dan bekas air yang lain, serta air yang berada di kolam, maka ia dapat dimiliki. Tidak halal mengambilnya kecuali atas izin pemiliknya. Tidak wajib bagi pemiliknya untuk memberikan kepada orang lain, kecuali bagi orang yang sangat memerlukan.
Inilah sepertimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/259).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”