Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sah solat saya yang didirikan di dalam rumah kawan saya yang bukan beragama Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ

Maksudnya: “Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”

(Surah al-Nisa’: 102)

Al-Syaukani berkata: Ini adalah kalimat yang ditujukan bagi Rasulullah dan bagi orang setelahnya yang memegang kekuasaan atau pemerintahan. Hendaklah mereka mengerjakan solat dengan orang-orang yang bersamanya solat khauf (ketika dalam keadaan takut), dan para sahabat dahulu mengerjakan solat khauf ini berkali-kali setelah wafatnya Rasulullah SAW – sebagaimana telah diketahui.- (Lihat Fath al-Qadir, 3/223)

Pertamanya, pada asasnya, di antara syarat sah solat adalah suci tempat bersolat daripada najis. Tempat bersolat bermaksud ruang yang digunakan oleh orang yang bersolat termasuk tempat berpijak hingga ke tempat sujud yang bersentuhan dengan badannya ketika bersolat. Sehubungan itu, tidak mengapa tempat yang bernajis sekiranya tidak bersentuhan dengan badan. Contohnya ruang yang bertentangan dengan dada ketika rukuk dan sujud. Hal ini berdasarkan suruhan Rasulullah SAW supaya menjiruskan air di tempat yang dikencing oleh seorang badwi di dalam masjid, dan berdasarkan qiyas hukum pakaian kepada tempat bersolat kerana kedua-duanya adalah sama-sama bersentuhan badan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/122-123).

Keduanya, secara umumnya, Islam membenarkan umatnya untuk menunaikan solat di mana-mana sahaja bagi menyempurnakan perintah tersebut kecuali pada tujuh tempat. Hal ini dijelaskan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى أَنْ يُصَلَّى فِي سَبْعَةِ مَوَاطِنَ فِي الْمَزْبَلَةِ وَالْمَجْزَرَةِ وَالْمَقْبُرَةِ وَقَارِعَةِ الطَّرِيقِ وَفِي الْحَمَّامِ وَفِي مَعَاطِنِ الإِبِلِ وَفَوْقَ ظَهْرِ بَيْتِ اللَّهِ ‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang untuk mendirikan solat di tujuh tempat iaitu tempat (pembuangan) sampah, tempat penyembelihan haiwan, perkuburan, di tengah jalan, tempat pemandian (tandas), tempat unta, dan di atas Kaabah.

Riwayat al-Tirmizi (346)

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa diharuskan dan sah solat seseorang yang didirikan di dalam rumah orang bukan Islam. Hal ini adalah berdasarkan kepada keumuman sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا فَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةُ فَلْيُصَلِّ

Maksudnya: “Bumi ini dijadikan untukku sebagai tempat solat dan suci untuk tayammum. Oleh itu, sesiapa sahaja daripada kalangan umatku, apabila telah masuknya waktu solat, hendaklah menunaikan solat walau di mana pun dia berada.”

Riwayat al-Bukhari (335)

Al-Sindi menyatakan, maksud hadith ini adalah bahawa seluruh bumi pada asasnya adalah tempat untuk melakukan solat untuk semua orang kecuali jika adanya perkara mendatang yang menunjukkan bahawa solat di tempat itu makruh atau tidak sah. (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Sahih al-Bukhari, 1/140).

Bahkan, Imam al-Bukhari menamakan bab dalam kitab sahihnya sebagai “بَابُ الصَّلاَةِ فِي البِيعَةِ” (Bab: Solat di dalam Gereja). Kemudian, menukilkan di bawahnya bahawa Umar R.A menyebutkan, sesungguhnya kami tidak masuk ke dalam gereja-gereja kamu kerana ada patung berhala di dalamnya. Begitu juga Ibn Abbas pernah mengerjakan solat di dalam gereja melainkan gereja yang terdapat berhala di dalamnya. (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/167).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan lagi berkenaan “بَابُ الصَّلاَةِ فِي البِيعَةِ”, pengarang al-Muhkam menyebutkan, al-Bi‘ah (البِيعَة) merujuk kepada rumah ibadat rahib. Namun, ada juga yang berpendapat, ia bermaksud gereja Nasrani. Pendapat yang kedua ini adalah yang muktamad, dan termasuk juga dalam hukum bi‘ah ini (yakni mengambil hukum yang sama), gereja, rumah/tempat belajar kitab-kitab Yahudi, rumah ibadat, rumah berhala, rumah api dan tempat seumpamanya. (Lihat Fath al-Bari, 1/531; lihat juga al-Insaf oleh al-Mardawi, 1/496).

Justeru, sekiranya solat seseorang dalam gereja dikira sah, maka solat seseorang di dalam rumah orang Nasrani atau orang kafir lainnya adalah lebih-lebih lagi dikira/dianggap sah.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa solat seseorang yang didirikan di dalam rumah orang yang bukan beragama Islam adalah dikira sah dan tidak perlu diulangi semula. Hal ini bertepatan dengan keumuman nas yang sahih yang menyatakan bahawa bumi ini keseluruhannya boleh untuk dijadikan sebagai tempat solat, dengan syarat ia bersih daripada najis. Selain itu, kami juga menyarankan, sebaik-baiknya elakkanlah untuk solat di dalam ruangan yang terdapat di dalamnya banyak gambar atau patung/berhala.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply