Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah doa perempuan yang sedang hamil itu mustajab?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’”
(Surah al-Ghafir: 60)
Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT menuntut para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tiada khilaf dalam kalangan orang Islam. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 183/24)
Di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:
الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ
Maksudnya: “Doa itu merupakan ibadah.”
Riwayat al-Tirmizi (3247); beliau menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.
Selain itu, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan bimbingan sang Penciptanya dalam setiap keadaan. Tambahan lagi, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian. Namun, di sana adanya perkara yang perlu diambil perhatian ketika berdoa bagi memastikan doa tersebut diterima dan dimakbulkan oleh Allah SWT, iaitu adab-adab dalam berdoa.
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak menjumpai riwayat yang menyebutkan tentang kemustajaban doa wanita yang hamil secara khusus.
Meskipun begitu, secara umumnya Allah S.W.T menyatakan bahawa antara sebab kemustajaban doa seseorang itu adalah apabila dia berada dalam keadaan yang penuh kesukaran dan kesulitan. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
أَمَّنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ
Maksudnya: “Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya (melainkan Allah).”
(Surah Al-Naml: 62)
Menurut Ibn Kathir dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: “Siapakah lagi yang menjadi fokus dan tumpuan bagi mereka yang berada dalam kesulitan melainkan kepada-Nya (Allah). Serta siapakah lagi yang menghilangkan kemudaratan dari mereka yang tertimpa mudarat selain Allah?”
Beliau juga menukilkan sebuah kisah yang berlaku kepada para salafussoleh terdahulu seperti yang disebutkan oleh ‘Ubaidullah bin Abi Soleh beliau berkata: “Suatu hari Thawus (Ibn Kaisan) datang menziarahi aku yang sedang sakit di rumahku. Lalu aku berkata kepadanya: Berdoalah kepada Allah untuk aku wahai Abu Abd al-Rahman. Maka beliau membalas: Berdoalah kamu sendiri untuk diri kamu, kerana Allah menjawab mereka yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/206)
Justeru, kami nyatakan perempuan hamil termasuk dalam kategori mereka yang dalam kesakitan dan kesulitan. Maka, kami katakan doa perempuan yang sedang hamil adalah mustajab. Pengorbanan mereka dalam mengandung selama 9 bulan dan kesakitan dalam melahirkan bayi tidak dapat dibalas. Oleh sebab itu, mereka yang meninggal akibat melahirkan bayi mereka dikira sebagai mati syahid.
Daripada Jabir bin ‘Atik bahawa:
أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ ثَابِتٍ لَمَّا مَاتَ قَالَتْ ابْنَتُهُ: وَاللهِ إِنْ كُنْتُ لَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ شَهِيدًا، أَمَا إِنَّكَ قَدْ كُنْتَ قَضَيْتَ جِهَازَكَ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ اللهَ قَدْ أَوْقَعَ أَجْرَهُ عَلَى قَدْرِ نِيَّتِهِ، وَمَا تَعُدُّونَ الشَّهَادَةَ؟ قَالُوا: قَتْلٌ فِي سَبِيلِ اللهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللهِ الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ، وَالْغَرِقُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ، وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ الْحَرِيقِ شَهِيدٌ، وَالَّذِي يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيدٌ، وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدَةٌ
Maksudnya: “Abdullah bin Thabit ketika meninggal dunia, anak perempuannya berkata: ‘Demi Allah, aku sangat berharap engkau mati syahid. Adapun engkau telah mempersiapkan peralatan engkau (bagi menyediakan peralatan perang dan ekspedisi serta lain-lain).’ Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Allah telah menjadikan pahalanya setimpal dengan apa yang diniatkannya, dan menurut kamu, siapakah orang yang dikira mati syahid itu?’ Mereka menjawab: ‘(Orang yang mati syahid itu) ialah orang yang terbunuh di jalan Allah.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan Allah ada tujuh orang, iaitu orang yang mati kerana taun adalah syahid, orang yang mati tenggelam (lemas) adalah syahid, orang yang mempunyai luka pada lambung lalu mati adalah syahid, orang yang mati kerana penyakit perut adalah syahid, orang yang mati dalam kebakaran adalah syahid, orang yang mati tertimpa runtuhan adalah syahid dan seorang wanita yang meninggal dunia sedangkan dia dalam keadaan mengandung adalah syahid.’”
Riwayat Ahmad (23753); riwayat Nasa’i dalam hadith yang panjang dengan sedikit perbezaan lafaz (1846); riwayat Ibn Majah dengan lafaz seumpamanya (2803); Syeikh Syu‘aib al-Arnaut dalam Takhrij al-Musnad (23753) menilainya sebagai sahih. Begitu juga al-Albani dalam Sahih Abi Daud (3111) menilainya sebagai sahih.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa dan munajat:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”