Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum meninggikan tanah kubur lebih sedikit dari sejengkal mungkin kira-kira dalam 30 sentimeter atau lebih sedikit? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Seterusnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Ali bin Abi Talib berkata kepadaku (Abi Hayyaj):

 أَلا أَبْعَثُكَ على ما بَعَثَنِي عليه رَسولُ اللهِ ﷺ؟ أَنْ لا تَدَعَ تِمْثالًا إلّا طَمَسْتَهُ، وَلا قَبْرًا مُشْرِفًا إلّا سَوَّيْتَهُ.

Maksudnya: Tidakkah mahu aku utuskan kamu sebagaimana Rasulullah SAW utuskan aku? Jangan sekali-kali kamu tinggalkan patung-patung melainkan kamu ratakannya atau hapuskannya, dan kubur yang tinggi melainkan kamu ratakannya.

Riwayat Muslim (969)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, berkenaan meninggikan tanah kubur, terdapat riwayat daripada Jabir R.A:

وَرُفِعَ قَبْرُهُ عَنِ الأَرْضِ قَدْرُ شِبْرٍ

Maksudnya: “Ditinggikan kuburnya dari tanah sekira-kira sejengkal.

Riwayat al-Baihaqi (3/407) dan Ibn Hibban (8/218)

Kadar syibr (شِبْر) atau sejengkal adalah merujuk kepada panjang yang terletak di antara pangkal jari kelingking dan ibu jari pada tangan yang terbuka. Panjang ini menurut ukuran syarak adalah dua belas jari, yang setara dengan 23.1 sentimeter. (Lihat Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, hlm. 256).

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, ditinggikan tanah kubur dari tanah sekira-kira sejengkal tujuannya adalah supaya diketahui ia adalah kubur lalu diziarahi dan dihormati daripada dihinakan dengan terpijak ke atasnya dan seumpamanya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/242).

Bahkan, inilah pendapat muktamad yang dipegang dalam mazhab Syafi‘i sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili bahawa disunatkan untuk meninggikan kubur dengan kadar sekitar sejengkal supaya diketahui ia adalah kubur lalu diziarahi dan dihormati (dengan menjaga adab-adabnya). Begitu juga supaya kawasan itu tidak digali oleh sesiapa yang mahu menguburkan orang lain. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/639-640). Di samping itu, al-Hajawi daripada kalangan ulama mazhab Hanbali juga ada menyebutkan, ditinggikan kubur dengan kadar sejengkal dan dibonggolkan. (Lihat Zad al-Mustaqni‘, hlm. 72).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa sekiranya tanah kubur ditinggikan kira-kira 30 sentimeter atau lebih sedikit dari kadar sejengkal, maka hal itu tidak menjadi masalah dan tidak dianggap sebagai pengebumian yang tidak sah menurut syarak. Hal ini kerana apa yang dituntut adalah meninggikannya pada kadar sejengkal atau pada kadar yang seumpamanya dengan tujuan supaya diketahui ia adalah kubur lalu diziarahi dan dihormati (dengan menjaga adab-adabnya). Begitu juga supaya kawasan itu tidak digali oleh sesiapa yang mahu menguburkan orang lain, di samping menjaga tanah daripada hanyut dibawa arus banjir dan seumpamanya.

Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz pernah ditanya berkenaan  orang yang meninggikan tanah kubur lebih dari kadar sejengkal dan apabila diberi teguran, mereka mengatakan bahawa hal itu adalah untuk melindungi tanah kubur daripada banjir. Begitu juga mereka menambah lebih banyak kerikil di atas kubur selepas pengkebumian, melebihi tanah asalnya. Mereka juga menyiram air ke atasnya. Apakah hukum atas tindakan mereka itu?

Beliau menjawab, semua ini adalah boleh untuk dilakukan. Namun, afdhalnya (sebaik-baiknya) meninggikan tanah kubur dengan kadar sejengkal atau kadar seumpamanya. Jika mereka menambah sejumlah kecil kerikil atau yang seumpamanya, maka hal itu tidak mengapa. Lebih-lebih lagi, ia membantu dalam menandakan kubur sehingga diketahui itu adalah kubur dan mencegahnya daripada dihinakan (dengan terpijak atau seumpamanya). Jika mereka menguburkan mayat dengan tanah asalnya, menambah beberapa kerikil, dan menyiram air untuk mengukuhkan tanah, semua ini adalah boleh dilakukan kerana ia termasuk dalam perbuatan untuk memelihara tanah dan memastikan keutuhannya. (Lihat Majmu‘ Fatawa wa Maqalat Mutanawwi‘ah, 13/208).

Sekalipun begitu, kami juga mengambil kesempatan di sini mengingatkan agar berusahalah untuk tidak berlebih-lebihan dalam soal meninggikan tanah kubur lebih dari had atau kadar yang sepatutnya, sehingga akhirnya dilihat menyelisihi tujuan asal disyariatkan untuk menziarahi kubur iaitu sebagai tempat untuk mengambil peringatan dan pengajaran serta mengingati kematian dan hari akhirat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Leave a Reply