Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah kesan dan hukuman pada seseorang yang melafazkan zihar kepada isterinya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dari segi bahasa, zihar (ظِهَار) adalah kata terbitan (masdar) yang berasal daripada kata kerja bahasa arab ‘za ha ra’ (ظَاهَرَ) dalam ungkapan ‘zahara min imra’atihi’ (ظَاهَرَ مِن َامْرَأتِهِ) yang bermaksud ‘menziharkan isterinya’. Dalam aplikasi sebenar, zihar merujuk kepada perkataan seseorang suami terhadap isterinya:“Anti kazahri ummi” (أنْتِ كَظَهْرِ أمِّي) yang bermaksud: “Engkau seperti belakang ibuku.”

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, zihar adalah perbuatan suami melafazkan kata kata yang menyamakan salah satu anggota isterinya dengan ibunya atau mahramnya sehingga haram suami tersebut menyetubuhi isterinya dalam keadaan demikian, (si suami wajib mwmbayar kifarat zihar).[1]

Zihar juga mengikut setiap mazhab didefinisikan sebagai:

  • Mazhab Hanafi: Seseorang Islam menyamakan isterinya sekalipun perempuan kitabiah, kecil, gila, atau menyamakannya apa yang diibaratkan daripada anggotanya atau menyamakan sesuatu yang terkenal padanya dengan perempuan yang diharamkan ke atasnya selama-lama. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, 3/466).
  • Mazhab Maliki: Seseorang Islam menyamakan yang pada asalnya halal daripada isteri atau hamba perempuannya atau sejuzuk daripadanya dengan mahramnya. (Lihat al-Syarh al-Kabir li al-Dardir, 2/439).
  • Mazhab Syafi’i: Menyamakan isteri yang bukan Talaq Ba’in dengan perempuan yang tidak halal baginya berkahwin. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/352).
  • Mazhab Hanbali: Seseorang Islam menyamakan isterinya atau mana-mana anggota dengan belakang perempuan yang diharamkan ke atasnya berkahwin selama-lama atau dengan mana-mana anggotanya. (Lihat al-Muqni’, 23/228).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini telah thabit dalam nas al-Quran dan ijmak para ulama bahawa zihar merupakan perkara yang dilarang dalam syara’ kerana ia disifatkan sebagai perbuatan atau ucapan yang mungkar lagi dusta. Hal ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنْكُمْ مِنْ نِسَائِهِمْ مَا هُنَّ أُمَّهَاتِهِمْ ۖ إِنْ أُمَّهَاتُهُمْ إِلَّا اللَّائِي وَلَدْنَهُمْ ۚ وَإِنَّهُمْ لَيَقُولُونَ مُنْكَرًا مِنَ الْقَوْلِ وَزُورًا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٌ

Maksudnya: “Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka dari kalangan kamu bahawanya mereka itu (para isteri) diserupakan sebagai ibu-ibu mereka (dari sudut keharaman). Sesungguhnya ibu-ibu mereka itu tidaklah melainkan yang mengandungkan mereka. Sesungguhnya mereka mengatakan sesuatu yang mungkar dan juga dusta. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”

 Surah al-Mujadilah (2)

Imam Ibn Kathir menyatakan dalam tafsirnya, asal zihar adalah dari kalimah al-zahr (bahagian belakang). Hal ini kerana, golongan jahiliyyah apabila mereka saling menziharkan isteri mereka, dia akan berkata kepada isterinya: ‘’Kamu ke atas diriku sama seperti bahagian belakang ibuku’’. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/42)

Syara’ telah mewajibkan seseorang yang talah menziharkan isterinya hendaklah membayar kaffarah disebabkan dia telah mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh syara’. Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ يُظَـٰهِرُونَ مِن نِّسَآئِهِمْ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا قَالُوا۟ فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍۢ مِّن قَبْلِ أَن يَتَمَآسَّا ۚ ذَٰلِكُمْ تُوعَظُونَ بِهِۦ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ ٣ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ مِن قَبْلِ أَن يَتَمَآسَّا ۖ فَمَن لَّمْ يَسْتَطِعْ فَإِطْعَامُ سِتِّينَ مِسْكِينًۭا ۚ ذَٰلِكَ لِتُؤْمِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۚ وَتِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ ۗ وَلِلْكَـٰفِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ ٤

Maksudnya: Dan orang-orang yang “ziharkan” isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan. Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

(Surah al-Mujadalah:3-4)

Kafarrah bagi seseorang yang melakukan zihar adalah seperti berikut:

Pertama: Bebaskan seorang hamba.

Kedua: Sekiranya tidak ada, perlu berpuasa dua bulan secara berturutan.

Ketiga: Sekiranya tidak mampu, perlu beri makan kepada 60 orang miskin. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/149)

Justeru kami katakan islam telah menghalalkan perkahwinan dengan isteri. Barangsiapa yang mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh syara’, sungguh ia telah berkata apa yang menyangkal kebenaran dan dusta. Ini kerana isteri bukanlah seperti ibu sehingga menjadi haram untuk dikahwini. Oleh yang demikian, Islam telah membatalkan perbuatan ini bagi  melindungi isteri dari kezaliman, penindasan, dan ketidakadilan, serta menjadikan hukuman bagi mereka yang melakukannya dengan membayar kaffarah sebagai  mencegah dari perbuatan tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=zihar Diakses pada 24 November 2023

Leave a Reply