Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, makna fitrah Islam dalam nas hadith yang disebut dalam buku Inilah Doaku?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ
Maksudnya: (Turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya;
(Surah al-Rum: 30)
Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abd al-Rahman bin Abza. Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW membaca doa ini ketika pagi dan petang. Katanya:
أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ إِذَا أَصْبَحَ وَإِذَا أَمْسَى : أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنْ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: Bahawasanya Nabi SAW membaca ketika pagi dan petang:
أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنْ الْمُشْرِكِينَ
Riwayat Ahmad (14938) Syeikh Syu’aib al-Arna’uth menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih sesuai dengan syarat al-Bukhari dan Muslim.
Dalam riwayat yang lain, juga daripada Abd al-Rahman bin Abza, daripada Ubay bin Ka’ab R.A, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا إِذَا أَصْبَحْنَا : (أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَكَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ وَسُنَّةِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنْ الْمُشْرِكِينَ) وَإِذَا أَمْسَيْنَا مِثْلَ ذَلِكَ .
Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW mengajarkan kepada kami (untuk membaca) ketika pagi:
أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَكَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ وَسُنَّةِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنْ الْمُشْرِكِين
“Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”
Dan ketika petang hari juga (membaca demikian).
Riwayat al-Tabarani dalam al-Du’a (293)
Menurut Ibn Manzur, salah satu makna الفِطْرَة adalah الإبْتِدَاء والإِخْتِرَاع mengawali dan menciptakan. Dengan demikian perkataan الفِطْرَة boleh bermakna asal kejadian, atau penciptaan sejak lahir.
Al-Jurjani pula menjelaskan: Fitrah ialah potensi dasar yang dipersiapkan untuk menerima agama. (Lihat al-Ta’rifat, 1/215)
Ungkapan أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ menurut al-Azizi bermaksud kita berada pada agama Islam yang mutlaq benar. (Lihat al-Siraj al-Munir, 3/126)
Manakala berkenaan ungkapan di atas kalimat ikhlas, Mujahid berpendapat bahawa kalimat Ikhlas ialah لا إله إلا الله (tiada Tuhan selain Allah). (Lihat Tafsir Mujahid, 2/476). Imam al-Munawi pula menyatakan kalimat ikhlas ialah kalimat syahadat. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/105)
Kami akhiri dengan doa:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”