Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh atau tidak kita bersenda gurau dengan orang ramai dan kaum keluarga? Adakah di sana terdapat nas yang membenarkannya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Ya, dalam kehidupan ini, manusia memerlukan kasih sayang dan ketenangan jiwa sama ada dengan bercakap atau bergurau kecuali perbuatan tersebut janganlah melampau dan banyak sekali. Ini kerana, kita mempunyai tugas yang besar sebagai khalifah di muka bumi untuk mengabdi kepada-Nya dan melaksana segala amanah yang ditaklif kepada kita.
Menjawab persoalan, kami katakan hukumnya harus dan dibolehkan. Hal ini berdasarkan kenyataan Imam al-Bukhari Rahimahullah dalam Sahihnya.
Ibn Mas‘ud berkata:
خَالِطِ النَّاسَ وَدِينَكَ لاَ تَكْلِمَنَّهُ وَالدُّعَابَةِ مَعَ الأَهْلِ
Maksudnya: “Bercampurlah dengan manusia selama mana ia tidak merosakkan agama, serta bersenda guraulah dengan ahli keluarga.”
Anas bin Malik R.A berkata:
إِنْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيُخَالِطُنَا، حَتَّى يَقُولَ لِأَخٍ لِي صَغِيرٍ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ، مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW bergaul dengan kami sehingga Baginda pernah berkata kepada saudaraku yang masih kecil: “Wahai Abu ‘Umair, apakah yang berlaku kepada burung pipit kamu?”
Riwayat al-Bukhari (6129)
Daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَ لِي صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِي، فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ، فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَيَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِي
Maksudnya: “Aku pernah bermain anak patung di sisi Nabi SAW, dan aku mempunyai teman-teman yang bermain bersamaku. Maka apabila Baginda SAW masuk, mereka menyorokkan diri mereka daripada Baginda, lalu Baginda memanggil dan menyuruh mereka bermain bersamaku.”
Riwayat al-Bukhari (6130)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”