Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami cara mendapat doa yang mustajab?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Doa menurut Imam al-Khattabi adalah permohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. (Lihat Sya’n al-Du‘a, 1/4)

Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu’.”

(Surah Ghafir: 60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh, tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Selain itu, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan bimbingan Penciptanya dalam setiap keadaan. Tambahan lagi, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian.

Namun, di sana adanya perkara yang perlu diambil perhatian ketika berdoa bagi memastikan doa tersebut diterima dan dimakbulkan oleh Allah SWT, iaitu adab-adab dalam berdoa. Kami nyatakan di sini sebahagiannya iaitu:

Pertama: Berdoa dengan penuh keyakinan dan pengharapan. Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

إِنَّهُمْ كَانُوا۟ يُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلْخَيْرَٰتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًۭا وَرَهَبًۭا ۖ وَكَانُوا۟ لَنَا خَـٰشِعِينَ

Maksudnya: “(Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.”

(Surah al-Anbiya’: 90)

Demikianlah juga, Allah SWT tidak akan menerima doa daripada mereka yang hatinya lalai lagi alpa. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

 ادْعُوا ا وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِِالإِجَابَةِ، وَاعْلَمُوا أَنَّ اللّهَ لَا يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لَاهٍ

Maksudnya: “Berdoalah kepada Allah SWT dalam keadaan kamu yakin bahawa ia akan diterima. Ketahuilah bahawa Allah SWT tidak akan menerima doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.”

Riwayat al-Tirmizi (3479)

Kedua: Memuji Allah SWT sebelum berdoa. Perkara ini dapat dilihat secara jelas dalam Surah al-Fatihah di mana terdapat lima pujian kepada Allah SWT, bermula daripada ayat pertama hinggalah ayat yang kelima. Kemudian pada ayat yang keenam dan seterusnya barulah ia diikuti dengan permintaan atau doa.

Ketiga: Berdoa di waktu-waktu mustajab, antaranya:

  • Sepertiga malam terakhir.

Diriwayatkan daripada Abu hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Maksudnya: “Setiap malam rahmat Tuhan kita turun ke langit dunia ketika berbaki sepertiga malam terakhir, lalu Dia berfirman: ‘Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku akan mengabulkannya. Sesiapa yang memohon kepada-Ku nescaya Aku akan memberinya, sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku nescaya Aku akan mengampuninya’.”

Riwayat al-Bukhari (1145) dan Muslim (758)

  • Ketika berpuasa.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak.”

Riwayat Ibn Majah (1753)

  • Pada hari Jumaat.

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ

Maksudnya: “Pada hari Jumaat terdapat satu waktu yang mana tidaklah seseorang muslim itu berada di dalam waktu itu dalam keadaan dia berdiri menunaikan solat dan meminta (berdoa) kepada Allah akan kebaikan, melainkan Dia akan menerima (permintaannya).”

Riwayat al-Bukhari (6400) dan Muslim (852)

Keempat: Menghadap kiblat ketika berdoa berdasarkan kepada kebanyakan perbuatan RAsulullah SAW. Imam al-Bukhari sendiri meletakkan satu bab khusus di dalam sahihnya mengenai perkara ini dengan tajuk, “Bab: Berdoa Dengan Menghadap Ke Arah Kiblat.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 8/75)

Kelima: Menjauhi harta dan makanan haram sebagaimana dalam hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya: “Kemudian Baginda SAW menjelaskan mengenai situasi seorang lelaki yang bermusafir dalam perjalanan jauh, tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku’ tetapi sumber makanannya haram, sumber minumannya haram, dan dia diberi makanan daripada sumber yang haram, maka bagaimana doanya hendak dikabulkan?”

Riwayat Muslim (1015)

Menutup perbincangan ini, kami mengambil peluang untuk menasihatkan agar kita sama-sama memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT, sesungguhnya Dia lah yang Maha Memberikan segala sesuatu kepada para hamba-Nya.

Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

Leave a Reply