Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah ayat 93 daripada Surah al-Nisa’ telah dimansuhkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menyebutkan terlebih dahulu ayat berkenaan, firman Allah SWT:

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًۭا مُّتَعَمِّدًۭا فَجَزَآؤُهُۥ جَهَنَّمُ خَـٰلِدًۭا فِيهَا وَغَضِبَ ٱللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُۥ وَأَعَدَّ لَهُۥ عَذَابًا عَظِيمًۭا

Maksudnya:Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.

(Surah al-Nisa’: 93)

Sebahagian ulama tafsir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, ayat ini bermaksud seseorang yang sengaja membunuh orang sedangkan dia mengetahui bahawa orang itu adalah seorang Muslim. Kemudian, dinyatakan bahawa tanda seseorang membunuh dengan sengaja adalah dia membunuh dengan alat yang biasanya dipakai untuk membunuh seperti pedang atau racun. Maka, dia berhak balasan neraka Jahannam kerana dosa-dosa yang dipikulnya dan dia akan kekal berada di dalam neraka itu, di samping turut mendapat kemurkaan dan laknat Allah, dan Allah juga akan menyediakan untuknya azab yang besar.

Namun, sesiapa yang bertaubat, Allah pasti akan mengampuninya, dan pembunuh secara sengaja yang ingin bertaubat hendaklah mengakui bahawa dia telah membunuh dan menyerahkan dirinya untuk diqisas apabila pembunuhannya diwajibkan hukuman qisas atau membayar diyat apabila tidak diwajibkan hukuman qisas, jika dia termasuk orang yang kaya dan mampu membayar diyat keseluruhan atau sebahagiannya.

Adapun pembunuh secara sengaja yang hanya bertaubat dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatannya tanpa mengakui dan menyerahkan diri maka tidak dapat dipastikan sekiranya taubatnya itu diterima, dan Allah adalah Zat yang Maha Penyayang, Dialah yang akan memutuskan perkara hamba-hamba-Nya dalam hal yang mereka perselisihkan.

Selain itu, dalam ayat ini juga Allah SWT tidak menyebut taubat atau membayar kafarah bagi orang yang membunuh orang Islam dengan sengaja sebagaimana Dia menyebutnya untuk pembunuhan tidak sengaja, dan ini menunjukkan bahawa taubat atau kafarahnya tidak akan diterima. Namun, pendapat lain menyatakan bahawa taubatnya boleh diterima. (Lihat Zubdah al-Tafsir min Fath al-Qadir, hlm. 117)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, cukuplah kami menukilkan hadith daripada riwayat Sa‘id bin Jubair, beliau berkata:

آيَةٌ اخْتَلَفَ فِيهَا أَهْلُ الكُوفَةِ، فَرَحَلْتُ فِيهَا إِلَى ابْنِ عَبَّاسٍ، فَسَأَلْتُهُ عَنْهَا فَقَالَ: نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ: {وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ} هِيَ آخِرُ مَا نَزَلَ وَمَا نَسَخَهَا شَيْءٌ.

Maksudnya: “Ada satu ayat di mana ahli Kufah berselisih tentang hukumnya. Justeru aku pun pergi dan bertanya kepada Ibn Abbas tentang ayat itu. Lalu beliau pun membalas: ‘Turunnya ayat ini: {وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ} (Maksudnya: Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah neraka jahanam) [Surah al-Nisa’: 93] sebagai ayat yang terakhir diturunkan berhubung (perihal membunuh seorang mukmin dengan sengaja) dan tiada (ayat) yang memansuhkannya.’

Riwayat al-Bukhari (4590)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply