Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh tafsirkan makna ayat 32 daripada Surah al-Anfal dan juga kalimat “Amtar” dalam ayat ini? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan menyebutkan terlebih dahulu ayat berkenaan, firman Allah SWT:
وَإِذْ قَالُوا۟ ٱللَّهُمَّ إِن كَانَ هَـٰذَا هُوَ ٱلْحَقَّ مِنْ عِندِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةًۭ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ أَوِ ٱئْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍۢ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: ‘Wahai tuhan kami! Jika betul (al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya.’”
(Surah al-Anfal: 32)
Seterusnya, dalam menjawab persoalan di atas, Imam al-Bukhari ada menukilkan perkataan Ibn ‘Uyainah yang berkata:
مَا سَمَّى اللَّهُ تَعَالَى مَطَرًا فِي القُرْآنِ إِلَّا عَذَابًا وَتُسَمِّيهِ العَرَبُ الغَيْثَ، وَهُوَ قَوْلُهُ تَعَالَى: يُنَزِّلُ الغَيْثَ مِنْ بَعْدِ مَا قَنَطُوا
Maksudnya: “Tidaklah Allah SWT menyebut perkataan hujan dalam al-Quran melainkan dalam konteks azab. Adapun orang-orang Arab menamakan hujan dengan (perkataan) al-Ghaith,” sebagaimana dalam firman Allah SWT (yang bermaksud): “Dialah yang menurunkan hujan sesudah mereka berputus asa.” (Surah al-Syura: 28). (Lihat Sahih al-Bukhari, 6/62).
Kemudian, Imam al-Bukhari membawakan pula selepas itu, riwayat daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:
قَالَ أَبُو جَهْلٍ: اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ هَذَا هُوَ الحَقَّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ، فَنَزَلَتْ: {وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ، وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ. وَمَا لَهُمْ أَلَّا يُعَذِّبَهُمُ اللَّهُ وَهُمْ يَصُدُّونَ عَنِ المَسْجِدِ الحَرَامِ} [الأنفال: 34] الآيَةَ
Maksudnya: “Abu Jahal berkata: ‘Ya Allah! Jika betul (al-Quran) ini (yang benar) daripada sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih, lalu turunlah ayat:
وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ، وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ، وَمَا لَهُمْ أَنْ لاَ يُعَذِّبَهُمُ اللَّهُ وَهُمْ يَصُدُّونَ عَنِ المَسْجِدِ الحَرَامِ
[Maksudnya: “Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun). Dan mengapa mereka tidak patut diseksa oleh Allah, sedang mereka menyekat (orang-orang Islam) daripada (mendatangi) masjid al-Haram.”] [Surah al-Anfal: 33-34].”
Riwayat al-Bukhari (4648)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”