Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah kita disuruh untuk beramal dan berusaha, kemudian barulah bertawakal? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

وَعَلَى اللَّهِ فَتَوَكَّلُوا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal jika kamu benar-benar orang yang beriman.

(Surah al-Ma’idah: 23)

Menurut Ibn al-Athir, tawakal adalah menyerahkan urusan kepada pihak lain atau menggantungkan kepadanya. Hal ini disebabkan kerana kepercayaan penuh kepada yang diserahkan atau ketidakmampuan menanganinya sendiri. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 5/221).

Ibn Rajab menyatakan bahawa hakikat tawakal adalah benarnya penyandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih maslahat dan menolak mudarat berhubung urusan dunia dan akhirat, menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT, serta pengukuhan iman bahawa tidak ada yang memberi, menghalang, memudaratkan dan memberikan manfaat kecuali   Dia. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 3/1266).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar kita disuruh untuk beramal dan berusaha terlebih dahulu, kemudian barulah bertawakal kepada Allah SWT. Ini kerana makna tawakal itu sendiri hakikatnya adalah berusaha dan berikhtiar, di samping berstrategi dan berserah kepada Allah SWT.

Hal ini jelas sebagaimana riwayat daripada Ali R.A, beliau berkata:

كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَقَدْ كُتِبَ مَقْعَدُهُ مِنَ الجَنَّةِ، وَمَقْعَدُهُ مِنَ النَّارِ فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلاَ نَتَّكِلُ؟ قَالَ: لاَ، اعْمَلُوا؛ فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ ثُمَّ قَرَأَ: {فَأَمَّا مَنْ أَعْطَىٰ وَٱتَّقَىٰ ٥ وَصَدَّقَ بِٱلْحُسْنَىٰ ٦ فَسَنُيَسِّرُهُۥ لِلْيُسْرَىٰ ٧ وَأَمَّا مَنۢ بَخِلَ وَٱسْتَغْنَىٰ ٨ وَكَذَّبَ بِٱلْحُسْنَىٰ ٩ فَسَنُيَسِّرُهُۥ لِلْعُسْرَىٰ}.

Maksudnya: “Kami sedang duduk di sisi Nabi SAW, lalu Baginda bersabda: ‘Tidak ada daripada kalian walau seorang pun melainkan telah dituliskan tempat duduknya di syurga dan tempat duduknya di neraka.’ Kami pun berkata: ‘Wahai Rasulullah, kenapa tidak kita bertawakal sahaja?’ Baginda bersabda: ‘Jangan, beramallah, setiap daripada kamu dimudahkan (untuk beramal dengan amalan yang telah ditentukan untuknya).’ Kemudian Baginda membaca (firman Allah Ta‘ala):

فَأَمَّا مَنْ أَعْطَىٰ وَٱتَّقَىٰ ٥ وَصَدَّقَ بِٱلْحُسْنَىٰ ٦ فَسَنُيَسِّرُهُۥ لِلْيُسْرَىٰ ٧ وَأَمَّا مَنۢ بَخِلَ وَٱسْتَغْنَىٰ ٨ وَكَذَّبَ بِٱلْحُسْنَىٰ ٩ فَسَنُيَسِّرُهُۥ لِلْعُسْرَىٰ

[Maksudnya: “Jelasnya: adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya) (5), Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik (6), Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga) (7), Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya (8), Serta ia mendustakan perkara yang baik (9), Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan (10)][Surah al-Lail: 10].

Riwayat al-Bukhari (4947)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Leave a Reply