Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.Boleh Dato kongsikan doa-doa yang boleh saya amal untuk dapatkan zuriat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Anak merupakan anugerah Allah SWT dan ia adalah hibah serta kurniaan daripada-Nya. Firman Allah SWT:

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Maksudnya: “Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”

(Surah al-Syura: 49)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT memberitahu bahawa Dia memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menahan rezeki daripada siapa yang Dia kehendaki. Tidak ada yang dapat menghalangi apa yang Dia berikan, dan tidak ada yang dapat memberikan apa yang Dia tahan. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memberi anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Contohnya adalah Nabi Lut, yang hanya diberikan anak perempuan”. Dia juga memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Seperti Nabi Ibrahim yang tidak diberikan anak perempuan”. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/198)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan setiap pasangan sudah tentu menginginkan cahaya mata agar menjadikan rumah tangga mereka lebih meriah dan bahagia. Maka, antara doa-doa yang boleh diamalkan khususnya pada mereka yang baharu sahaja berkahwin ialah:

Doa Mohon Zuriat yang Soleh dan Solehah

  • Firman Allah SWT:

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Maksudnya: ” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”

(Surah as-Saffat: 100)

Al-Tabari berkata: Ini merupakan permintaan Nabi Ibrahim kepada Tuhannya agar Dia mengurniakan keturunan yang soleh kepadanya. Ibrahim berdoa: “Hai Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku seorang anak yang termasuk dari kalangan orang-orang yang soleh, yang mentaati-Mu dan tidak melakukan maksiat kepada-Mu, melakukan kebaikan di atas muka bumi dan tidak merosakkan.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/869)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Di tengah hijrah dan perjalanan Nabi Ibrahim AS, Baginda memanjatkan doa kepada Allah SWT agar dikurniakan seorang anak, ‘رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ’, yakni hai Tuhanku, kurniakanlah aku seorang anak soleh yang membantuku dalam melaksanakan ketaatan kepada-Mu dan menghilangkan kesepianku di tempat yang asing. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 12/105)

Justeru, amat wajar bagi kita mengamalkannya terutama golongan yang belum dikurniakan cahaya mata. Yang lebih penting daripada itu, bukan semata-mata dikurniakan anak, tetapi bersifat soleh yang menjadi penyejuk dan penawar mata hati dunia dan akhirat.

  • Firman Allah SWT:

 رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Al-Sabuni berkata, jadikanlah kami pada suami-suami kami/isteri-isteri kami dan anak-anak kami kegembiraan dan kebahagiaan dengan sentiasa berpegang dalam ketaatan kepada-Mu dan beramal dalam mencari keredhaan-Mu. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/340)

Ibn Kathir dalam menjelaskan maksud “وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا” (dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa), menukilkan pendapat Ibn Abbas, al-Hasan, al-Suddi, Qatadah dan al-Rabi’ bin Anas yang berkata: “Iaitu para pemimpin yang diteladani dalam kebaikan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/134)

Syeikh al-Maraghi pula menyebut: Mereka juga memohon agar Allah SWT menjadikan mereka sebagai pemimpin yang diteladani ketika menegakkan panji-panji agama dengan menganugerahkan ilmu yang luas serta memberinya taufik bagi mengerjakan amal soleh. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/4902)

Ramai dalam kalangan salafus soleh dan ulama’ yang beramal dengan doa ini dan melaziminya agar dikurniakan kebahagiaan dalam kehidupan dengan keluarga yang sentiasa mentaati perintah Allah. Natijahnya, keluarga mereka mendapat banyak kelebihan dan kebahagiaan dalam melayari bahtera kehidupan. 

  •  Boleh juga dengan berdoa:

اللَّهُمَّ أكْثِرْ مَالِي، وَوَلَدِي، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أعْطَيْتَنِي، وَأطِلْ حَيَاتِي عَلَى طَاعَتِكَ، وَأحْسِنْ عَمَلِي، وَاغْفِرْ لِي

Maksudnya: “Ya Allah, perbanyaklah harta dan anakku serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan padaku. Panjangkanlah umurku dalam ketaatan pada-Mu dan baikkanlah amalku serta ampunilah dosa-dosaku.”

Riwayat al-Bukhari (6344) dan Muslim (2481)

Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Leave a Reply