Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah erti sebenar al-Samad dalam Surah al-Ikhlas mengikut Imam al-Bukhari? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ

Maksudnya: “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

(Surah al-Ikhlas: 2)

Seterusnya, dalam menjawab persoalan di atas, Imam al-Bukhari menyebutkan dalam kitab sahihnya:

وَالعَرَبُ تُسَمِّي أَشْرَافَهَا: الصَّمَدَ

Maksudnya: “Orang Arab memanggil orang-orang mulia di antara mereka dengan gelaran al-Samad.

Kemudian, Imam al-Bukhari menukilkan perkataan Abu Wa’il yang menyatakan berkenaan maksud al-Samad iaitu:

هُوَ السَّيِّدُ الَّذِي انْتَهَى سُودَدُهُ

Maksudnya: “Ia adalah pemimpin yang kepimpinannya dan kemuliaannya mencapai kemuncak.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 6/180).

Kemudian, Imam al-Bukhari membawakan pula selepas itu, riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

قَالَ اللَّهُ: كَذَّبَنِي ابْنُ آدَمَ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ ذَلِكَ، وَشَتَمَنِي وَلَمْ يَكُنْ لَهُ ذَلِكَ، أَمَّا تَكْذِيبُهُ إِيَّايَ أَنْ يَقُولَ: إِنِّي لَنْ أُعِيدَهُ كَمَا بَدَأْتُهُ، وَأَمَّا شَتْمُهُ إِيَّايَ أَنْ يَقُولَ: اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا، وَأَنَا الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ أَلِدْ وَلَمْ أُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لِي كُفُؤًا أَحَدٌ

Maksudnya: “Allah berfirman: ‘Keturunan Adam mendustakan-Ku sedangkan tidak selayaknya dia melakukan itu. Dia mencaci-Ku padahal itu tidak patut baginya. Adapun pendustaannya terhadap-Ku adalah perkataannya: Sesungguhnya Aku tidak akan mengembalikannya sebagaimana Aku memulai penciptaannya.’” Manakala caciannya kepada-Ku pula adalah dengan perkataannya: ‘Allah mempunyai anak.’ Sedangkan Aku ialah al-Samad (tempat pergantungan segala sesuatu) yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada satu pun yang setara dengan-Ku.’

Riwayat al-Bukhari (4975)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply