Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.Boleh Dato kongsikan doa agar diberi penghujung umur yang baik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’”

(Surah al-Ghafir: 60)

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT menuntut para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tiada khilaf dalam kalangan orang Islam. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 183/24)

Di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ

Maksudnya: “Doa itu merupakan ibadah.”

Riwayat al-Tirmizi (3247); beliau menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan setiap orang di dunia ini sudah pasti menginginkan penghujung umur yang baik. Maka, antara doa yang boleh diamalkan ialah:

اللَّهُمَّ أكْثِرْ مَالِي، وَوَلَدِي، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أعْطَيْتَنِي، وَأطِلْ حَيَاتِي عَلَى طَاعَتِكَ، وَأحْسِنْ عَمَلِي، وَاغْفِرْ لِي

Maksudnya: “Ya Allah, perbanyaklah harta dan anakku serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan padaku. Panjangkanlah umurku dalam ketaatan pada-Mu dan baikkanlah amalku serta ampunilah dosa-dosaku.”

Doa ini adalah iqtibas daripada doa Nabi SAW kepada Anas bin Malik R.A sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan lain-lainnya.

  • Doa Mohon Penghujung Umur yang Baik

Sabda Nabi SAW:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمْرِي آخِرَهُ ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَوَاتِمَهُ ، وَخَيْرَ أَيَّامِي يَوْمَ أَلْقَاكَ

Maksudnya: Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umurku adalah pada penghujungnya dan sebaik-baik amalanku sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hariku, adalah hari di mana daku berjumpa dengan-Mu kelak.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Ausat (9411)

Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (265), Ibn Hibban (974) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (351)

Leave a Reply