Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat di kalangan tabi’in yang dirujuk oleh para Sahabat dalam ilmunya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, tanpa kami nafikan kelebihan para Sahabat yang telah dipuji oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadith yang masyhur:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka.”

Riwayat al-Bukhari (3651); Muslim (2533)

Al-Nawawi menyebutkan bahawa para ulama telah bersepakat bahawa sebaik-baik kurun ialah kurun Nabi SAW yakni yang dimaksudkan ialah para sahabat Baginda SAW dan pendapat yang sahih di sisi jumhur ialah setiap Muslim yang melihat Nabi SAW sekalipun seketika, termasuk dalam kalangan sahabatnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/84-85)

Dan begitu juga hadith Nabi SAW:

أَصْحَابِي كَالنُّجُومِ بِأَيِّهِم اِقْتَدَيْتُمْ اِهْتَدَيْتُمْ

Maksudnya: “Para sahabatku ibarat bintang-bintang. Dengan sesiapa sahaja kalian ikuti nescaya kalian akan mendapat petunjuk.”

Riwayat al-Daraqutni dalam al-Mu’talif wa al-Mukhtalif (4/1778) Abd bin Humaid dalam Musnadnya (781)

Meneliti sejarah, memang terdapat para Sahabat yang thiqah dengan tabi’in. Antaranya Ibn Umar R.Anhuma begitu thiqah dengan Said bin al-Musayyib. Beliau banyak memujinya dan pernah berkata: Dia (Sa’id ibn al-Musayyib) wallahi seorang Mufti. (Lihat al-Ma’rifah wa al-Tarikh, 1/469)

Sa’id bin al-Musayyib begitu mendalami tentang fiqh dan keputusan yang dibuat oleh Umar bin al-Khattab sehingga beliau digelar rawiyatu Umar.

Abdullah bin Umar pernah menghantar seseorang kepada Said bertanyakan kepadanya tentang keputusan yang dibuat oleh Umar, sebagaimana kata Imam Malik. (Lihat al-Tabaqat oleh Ibn Sa’d, 5/121)

Antara Sahabat yang thiqah dengan muridnya ialah Anas bin Malik R.A ketika di Basrah, amat percaya kepada al-Hasan al-Basri dan beliau juga pernah bertanya atau menyuruh orang lain bertanya kepada al-Hasan al-Basri seraya berkata: Hendaklah kamu merujuk kepada Maulana al-Hasan dan tanyalah. Lantas mereka berkata: Ya Aba Hamzah (gelaran kepada Anas), kami tanya kamu dan kamu kata: Tanyalah Maulana al-Hasan. Lantas jawab Anas bin Malik: Sesungguhnya kami telah mendengar dan dia juga mendengar. Dia hafaz sedangkan kami lupa. (Lihat al-Tabaqat oleh Ibn Sa’d, 7/176)

Sedangkan al-Hasan al-Basri juga banyak mendapat ilmu bahkan murid kepada Anas bin Malik.

Sama juga kepada Ibn Abbas R.Anhuma ketika ditanya soalan oleh orang ramai di kota Makkah, lantas beliau  berkata: Apakah terdapat di kalangan kamu Ata’ bin Abi Rabah sedangkan Ata’ bin Abi Rabah yang juga ulama tabiin merupakan murid kanan kepada Abdullah bin Abbas. 

Sesungguhnya kedudukan Sahabat tetap tidak mengurangi darjatnya. Tetapi telah menunjukkan kepada kita satu jalan yang terbaik untuk penyelesaian dalam masalah ilmu agar dirujuk kepada ahlinya. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply