Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat catatan sejarah bahawa Nabi menghantar surat kepada Maharaja Parsi, dan apabila sampai surat, dia mengoyaknya, lantas Nabi SAW berdoa ke atasnya.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Selepas perjanjian Hudaibiyyah, Rasulullah SAW mengirimkan para sahabat menjadi utusan bagi menyampaikan dakwah kepada pembesar dan raja-raja. Antaranya Raja Kisra atau Parsi. Peristiwa beliau mengoyakkan surat Rasulullah SAW adalah benar.
Imam al-Bukhari berkata: Daripada Ibn Syihab, bahawa dia berkata:
Daripada Ibn Syihab bahawa dia berkata:
أَخْبَرَنِي عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُتْبَةَ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ بِكِتَابِهِ إِلَى كِسْرَى، فَأَمَرَهُ أَنْ يَدْفَعَهُ إِلَى عَظِيمِ البَحْرَيْنِ. يَدْفَعُهُ عَظِيمُ البَحْرَيْنِ إِلَى كِسْرَى. فَلَمَّا قَرَأَهُ كِسْرَى مَزَّقَهُ. فَحَسِبْتُ أَنَّ ابْنَ الـمُسَيِّبِ قَالَ: فَدَعَا عَلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَنْ يُمَزَّقُوا كُلَّ مُمَزَّقٍ».
Maksudnya: ‘Ubaidullah bin Abdullah bin ‘Utbah mengkhabarkan kepadaku bahawa Abdullah bin Abbas mengkhabarkan kepadanya bahawa Rasulullah SAW mengirim suratnya kepada Kisra, lalu memerintahkan supaya surat itu diserahkan kepada pembesar al-Bahrain, kemudian pembesar al-Bahrain menyerahkan surat itu kepada Kisra. Apabila Kisra membacanya lalu dia mengoyaknya. Aku menyangka bahawa Ibn Musayyib berkata: Rasulullah SAW mendoakan (keburukan) ke atas mereka: “Bahawa mereka akan dihancurkannya sehancur-hancurnya.”
Riwayat al-Bukhari (7264)
Mengambil kesempatan daripada suasana mutakhir ini, marilah sama-sama kita mendoakan kebaikan dan kemenangan kepada saudara-saudara kita di Palestin yang sedang menghadapi ujian dan tribulasi dengan rejim Zionis Israel.
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
Riwayat al-Bukhari (6393)
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2965)